KUALA LUMPUR 23 Jan - T7 Global Bhd menerima surat anugerah (LoA) daripada Hess Exploration and Production Malaysia B.V. bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) pakej B3.
Dalam satu makluman di Bursa Malaysia, LoA itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd pada 11 November 2024.
"Kerja-kerja MCM itu berkuatkuasa pada 11 November 2024 sehingga 10 November 2029.
"Kontrak lima tahun itu juga menawarkan pilihan lanjutan pertama selama tiga tahun dan pilihan kedua selama dua tahun," katanya.
Mengenai potensi risiko berkaitan ontrak itu, T7 berkata ia termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga mahir, peralatan dan syarat kawal selia.
"Namun begitu, Tanjung Offshore akan melaksanakan pendekatan yang diperlukan untuk mengurangkan pelbagai faktor risiko yang dikenal pasti bagi melaksanakan kontrak itu dengan lancar," katanya.
Sementara itu, lembaga pengarah T7 menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya sehingga tamat kontrak.- DagangNews.com








