KUALA LUMPUR 6 Okt – Solarvest Holdings Berhad mencatat pencapaian baharu apabila memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 30 tahun dengan Syarikat Sesco Berhad di Sarawak.
Menurut penganalisis, projek ladang solar berskala besar 100MWac di Mukah, iaitu yang pertama di negeri itu dijangka mengukuhkan aliran hasil berulang dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Ia dilaksanakan syarikat tujuan khas (SPV) melalui perkongsian 60:40 antara Solarvest dan Press Metal Aluminium Holdings Berhad (PMAH), dengan tarikh operasi komersial dijangka 30 November 2027.
Menurut Maybank Investment Bank, pelaksanaan projek ini dengan jangka hayat PPA selama 30 tahun menunjukkan komitmen strategik Solarvest terhadap pemerolehan pendapatan berulang yang stabil.
"Ia juga selari dengan aspirasi tenaga boleh diperbaharui (RE) digariskan kerajaan Sarawak untuk mencapai kapasiti terpasang 15GW menjelang 2035," kata firma berkenaan dalam satu nota kajiannya.
Projek ini jelasnya, akan menyumbang keuntungan bersih sekitar RM4.7 juta setahun kepada Solarvest mulai tahun kewangan 2029 berdasarkan pegangan 60%, dengan sumbangan kecil bermula seawal FY28.
Ini kata Maybank IB, adalah berasaskan terhadap anggaran kos pelaburan RM380 juta dan struktur pembiayaan 80:20 hutang kepada ekuiti dengan peningkatan anggaran pulangan ekuiti sekitar 10%.
Perkembangan tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, menunjukkan prospek yang lebih menarik berbanding purata sejarah 8% untuk projek solar berskala besar (LSS) di Semenanjung Malaysia.
Artikel berkaitan: Solarvest, Press Metal bangunkan ladang solar berkapasiti 100 MW di Mukah
"Seiring penilaian semula impak projek ini, kami menaikkan harga sasaran berdasarkan penjumlahan bahagian (SOP) kepada RM3.52 sesaham daripada RM3.15, sambil mengekalkan saranan 'beli'," katanya.
Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Solarvest dan menaikkan harga sasaran kepada RM3.58 berbanding RM3.26, iaitu potensi kenaikan 22% daripada paras semasa.
Menurutnya, projek di Sarawak ini akan menyumbang kira-kira RM6.5 juta keuntungan bersih tahunan, berasaskan jangkaan pulangan ekuiti antara 7% hingga 8% dan nisbah pembiayaan pula iaitu 4:1.
Keadaan ini tambah firma tersebut, bersamaan 8% hingga 9% daripada unjuran keuntungan FY26, sekali gus menyokong matlamat Solavest untuk menjana 30% daripada pendapatan syarikat secara berulang.
“Ia kini memiliki kapasiti LSS berkesan sebanyak 204MWp, merangkumi projek LSS PETRA 5+, LSS5, projek RE di Brunei, program CGPP, dan LSS4 di Perak,” jelas RHB Research dalam laporannya.
Solarvest disifatkan firma itu sebagai peneraju utama sektor solar di Malaysia yang bakal mendapat manfaat langsung daripada pelaksanaan pelbagai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Perkembangan positif itu juga katanya, mendorong penyertaan sektor swasta dalam pembangunan RE negara, namun kedua-dua firma penyelidikan tersebut turut menyenaraikan beberapa potensi risiko.
Antaranya, penamatan insentif solar, persaingan sengit, dan kos pelaksanaan lebih tinggi daripada jangkaan, tetapi secara keseluruhan masih kekal positif terhadap prospek jangka panjang Solarvest.
Projek di Sarawak ini bukan sahaja menandakan pengembangan geografi pertama syarikat ke Borneo, ia mengukuhkan peralihan model perniagaan syarikat itu daripada kontraktor semata-mata. - DagangNews.com








