KUALA LUMPUR 3 Okt - Solarvest Holdings Berhad dan Press Metal Berhad menerusi kenderaan tujuan khasnya, Mukah Solar Powerplant Sdn Bhd memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Syarikat Sesco Berhad bagi pembangunan kemudahan penjaan tenaga solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 100 MWac di Mukah.
Mukah Solar Powerplant merupakan sebuah kenderaan tujuan khas dimiliki bersama Solarvest Asset Management (Borneo) Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung milik penuh Solarvest dengan pegangan ekuiti sebanyak 60%, manakala Press Metal Berhad, anak syarikat tidak langsung milik penuh Press Metal Aluminium Holdings Berhad, memegang baki 40%.
Menerusi perjanjian itu, Mukah Solar Powerplant akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara loji solar PV Mukah tersebut.
Projek itu dijadual mencapai tarikh operasi komersial pada 30 November 2027, dengan anggaran kos pelaburan sebanyak RM380 juta yang sebahagian besarnya dibiayai melalui kemudahan bank, manakala bahagian ekuiti Solarvest akan dibiayai secara dalaman.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Solarvest, Leon Liew Chee Ing berkata, loji solar PV Mukah merupakan langkah penting dalam perjalanan tenaga boleh diperbaharui (RE) Sarawak, dan pihaknya berbangga dapat memainkan peranan utama dalam menjayakan antara projek tenaga bersih terbesar di negeri itu.
Setelah beroperasi, loji itu dijangka dapat mengurangkan kira-kira 46,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun, sekali gus menyokong usaha Malaysia menuju ekonomi rendah karbon.
“Loji solar PV Mukah sejajar dengan Strategi Peralihan Tenaga Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, yang dirangka untuk mengukuhkan ekosistem RE Sarawak serta mempercepat peralihan ke arah masa depan rendah karbon.
"Kedua-dua kerangka itu menyasarkan 10GW kapasiti terpasang menjelang 2030, meningkat kepada 15GW menjelang 2035, dengan sekurang-kurangnya 60% campuran tenaga terdiri daripada RE.
"Kami melihat loji solar PV Mukah bukan sahaja sebagai projek penjanaan tenaga, tetapi juga sebagai pemangkin bagi Sarawak untuk muncul sebagai hab RE serantau selaras dengan aspirasi sifar bersih Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, projek itu mengukuhkan lagi kedudukan pihaknya dalam pasaran EPCC Sarawak dan memberi momentum tambahan kepada buku pesanan yang semakin berkembang.
Pihaknya menjangkakan buku tempahan meningkat ke tahap tertinggi baharu sekitar RM3 bilion menjelang akhir tahun kewangan, dipacu lebih banyak kemenangan LSS5 dan LSS5+ EPCC serta projek tambahan di Borneo.
Projek itu dijangka mewujudkan sekitar 1,500 hingga 2,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung untuk pekerja tempatan sepanjang fasa pembinaan dan operasi, sekali gus memberikan manfaat terus kepada komuniti.








