KUALA LUMPUR 24 Nov – SkyWorld Development Berhad menunjukkan momentum positif dengan keuntungan bersih pada 1HFY26 sebanyak RM10.8 juta, yang selaras jangkaan TA Securities sendiri.
Menurut firma penyelidikan tersebut, situasi lebih baik itu berikutan banyak projek baharu masih berada di peringkat awal pembinaan dan dijangka memperoleh pertumbuhan besar selepas disiapkan.
Bagaimanapun katanya, ia mencatat hasil dan keuntungan bersih teras pada 9MFY26 masing-masing susut 28% dan 48% tahun ke tahun (YoY) disebabkan projek EdgeWood Residences dan SkyVogue Residences.
"Sementara projek yang lain pula masih memerlukan masa untuk penyiapan, tetapi pendapatan meningkat 16% suku ke suku (QoQ) kepada sebanyak RM86.7 juta," kata TA Securities dalam notanya hari ini.
Perkembangan tersebut jelasnya menyaksikan keuntungan bersih teras melonjak 87% QoQ kepada RM7.1 juta, dipacu pengiktirafan hasil oleh Vesta Residences dan sumbangan awal SkyAman 1 Residences.
Artikel berkaitan: Untung bersih Skyworld meningkat dua kali ganda pada 2Q25, syarikat umum dividen interim pertama
Berdasarkan kepada situasi positif berkenaan, SkyWorld tambah firma penyelidikan tersebut, juga mengumumkan dividen interim pertama 0.22 sen sesaham yang dijadualkan dibayar pada 15 Januari 2026.
Bagi baki FY26 pula kata TA Securities, kumpulan ini mempunyai jualan belum ditagih RM589 juta, iaitu 1.5 kali ganda ramalan pendapatan FY26, menyediakan tahap kepastian hasil 12 hingga 18 bulan.
"SkyWorld juga melancarkan RM843.5 juta projek baharu, termasuk SkyAman 1 (Cheras), SkyAwani PRIMA (Brickfields) dan SkyAwani 6 (Setapak), mewakili 42% sasaran FY26 sebanyak RM2.0 bilion," katanya.
Tambahnya, projek yang akan datang seperti SkyAwani Pearlmont Residences di Seberang Jaya, Pulau Pinang dijangka mendapat sambutan tinggi kerana harga mampu milik dan saiz unit 84 meter persegi.
Di samping itu, jelas TA Securities, projek tersebut menggunakan kaedah khas untuk mempercepatkan kitaran pembinaan antara 20% hingga 30% dan dijangka mampu mengekalkan margin yang lebih kukuh.
Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan sasaran harga 70 sen sesaham, berasaskan 0.7 kali harga kepada nilai buku 2026 termasuk premium 3% bagi penarafan empat bintang. - DagangNews.com








