Untung bersih SkyWorld meningkat dua kali ganda pada 2Q25, syarikat umum dividen interim pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih SkyWorld meningkat dua kali ganda pada 2Q25, syarikat umum dividen interim pertama

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 NovSkyWorld Development Berhad mencatat untung bersih dua kali ganda pada suku kedua berakhir 30 September 2025, kepada RM7.9 juta berbanding RM3.95 juta pada suku sebelumnya.


Peningkatan keuntungan selepas cukai itu sejajar dengan pertumbuhan pendapatan sebanyak 16.2% suku ke suku (QoQ) kepada RM86.7 juta, terutamanya hasil progresif daripada projek Vesta Residences.


Kumpulan pemaju hartanah tersebut berkata, jualan daripada pelancaran projek baharu, SkyAman 1 Residences di Cheras, Kuala Lumpur turut membantu dalam meningkatkan perolehan pada tempoh 2Q25. 


"Jumlah jualan belum dibilkan meningkat 21.9% kepada RM589 juta pada 30 September 2025 berbanding RM483.1 juta pada 30 Jun 2025," kata SkyWorld dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Lonjakan tersebut jelasnya, mencerminkan permintaan kukuh dan kadar penukaran minat pembeli kepada jualan yang tinggi dengan tempoh enam bulan pertama, pendapatan terkumpul ialah RM161.3 juta.


Tambah kumpulan itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) dicatatkan sepanjang separuh pertama pada tahun ini ialah sebanyak RM15.2 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) pula adalah RM10.8 juta.


Syarikat berkenaan katanya, masih berjaya mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat dengan baki tunai dan bank ialah RM320.9 juta serta nisbah penggearan bersih adalah rendah iaitu pada 0.2 kali.


"Perkembangan positif tersebut membolehkan pelaksanaan pelbagai projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) terkumpul mencecah RM4.6 bilion menjelang akhir 2026," kata SkyWorld.


Seiring prestasi kukuh ini, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen interim pertama 0.22 sen sesaham, bernilai RM2.2 juta, dijadual pada 15 Januari 2026 bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Chee Seng berkata, permintaan kediaman urban yang dirancang rapi kekal kukuh, dengan pelancaran SkyAwani Pearlmont Residences di Pulau Pinang.


Ia akan dijual dalam masa terdekat yang menandakan langkah strategik untuk pengembangan serantau sambil mengekalkan pendekatan pertumbuhan berdisiplin. - DagangNews.com