SkyWorld berpotensi beri pulangan 32%, untung bersih hingga FY27 dijangka 21% – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SkyWorld berpotensi beri pulangan 32%, untung bersih hingga FY27 dijangka 21% – TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 SeptTA Securities memulakan liputan terhadap prospek perniagaan syarikat pemaju, SkyWorld Development Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham.


Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran itu mewakili potensi pulangan keseluruhan sekitar 32% dengan menyatakan kumpulan berkenaan menawarkan pendedahan kepada segmen perumahan mampu milik.


Tambahnya, syarikat tersebut turut disokong oleh faktor kekukuhan bank tanah, strategi pelancaran secara berdisiplin, serta perluasan strategik ke pasaran Pulau Pinang yang mula pesat berkembang.


“Kami menjangkakan pertumbuhan keuntungan bersih teras pada kadar 21% bagi tahun kewangan 2024 hingga 2027, antara yang terpantas dalam liputan kami sendiri,”* kata TA Securities dalam notanya.


SkyWorld merupakan pemaju bandar yang banyak memberi tumpuan lebih kepada hartanah yang bertingkat tinggi dalam segmen perumahan mampu milik, komersial dan residensi sejak ditubuhkan pada 2006.


Syarikat ini sudah berjaya menyiapkan 12 projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5.3 bilion, manakala dua projek yang sedang berjalan kini mempunyai GDV mencecah RM1.2 bilion.


Lebih penting lagi kata TA Securities, ia memiliki bank tanah seluas 104.3 hektar dengan potensi GDV RM20.1 bilion, menyediakan pertumbuhan kukuh projek baharu di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
 

Artikel berkaitan: SkyWorld sasar capai GDV RM4.6 bilion menjelang akhir 2026


"Kami mengenal pasti terdapat tiga faktor utama yang menyokong pelaburan dalam SkyWorld antaranya kepimpinan syarikat itu dalam projek perumahan mampu milik berkualiti," tambah firma berkenaan.


Kumpulan itu jelasnya, turut dikenali kerana menggabungkan kualiti binaan tinggi dalam segmen mampu milik, kelebihan kompetitif di tengah cabaran pasaran hartanah mengekalkan harga jualan. 


Faktor kedua pula kata TA Securities, ialah langkah strategik syarikat menembusi pasaran Pulau Pinang yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan hasil berterusan dan kepelbagaian geografi.


Sementara yang terakhir ialah dengan unjuran pertumbuhan tahunan 21% bagi keuntungan bersih teras, SkyWorld muncul antara pemaju dengan kadar pemulihan pendapatan tertinggi di bawah liputannya.


"Kami mengunjurkan keuntungan bersih teras kumpulan ini sebanyak RM42 juta bagi tahun kewangan 2026, diikuti terus melonjak kepada RM95 juta (FY27) dan mencecah RM122 juta (FY28)," katanya.


Keadaan ini kata TA Securities, dijana melalui jualan hartanah yang diunjurkan meningkat dari RM1.0 bilion (FY26) kepada RM1.6 bilion (FY28) dengan asas kukuh segmen perumahan mampu milik.


Secara keseluruhan, ia menyifatkan SkyWorld sebagai peluang pelaburan menarik dalam sektor hartanah Malaysia dan memulakan liputan dengan saranan 'beli'. - DagangNews.com