KUALA LUMPUR 26 Sept - SkyWorld Development Berhad komited untuk mencapai sasaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.6 bilion menjelang akhir 2026, seiring dengan strategi pertumbuhan syarikat sebagai pemaju hartanah di bandar utama di dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Chee Seng berkata, kejayaan syarikat berpaksikan kepada pelaksanaan pembangunan yang mantap serta penyerahan projek secara tepat pada masanya.
“Kami komited untuk mencapai sasaran GDV RM4.6 bilion menjelang akhir 2026. Kejayaan pelaksanaan projek, disertai penghantaran tepat masa, kekal sebagai asas kepada kejayaan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kejayaan majlis pecah tanah projek di Pulau Pinang, yang merupakan pembangunan perumahan mampu milik terbesar negara dan projek pertama menggunakan teknologi sistem modular prasiap (PPVC) di Malaysia.
“Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan serta kualiti pembinaan, malah mengukuhkan kemampuan kami untuk membina rumah mampu milik bandar secara besar-besaran sambil memperkukuh asas pendapatan.

"Pulau Pinang akan menjadi tumpuan utama strategi pengembangan kami di luar Lembah Klang," katanya.
Sementara itu semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025, pemegang saham kumpulan itu juga meluluskan penyata kewangan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 bersama dengan laporan pengarah dan juruaudit
Selain itu, semua pengarah sedia ada yang menawarkan diri untuk pemilihan semula telah dilantik semula, manakala Deloitte PLT turut dilantik semula sebagai juruaudit luar bagi tahun kewangan semasa 2026. Semua resolusi lain juga telah diluluskan.
Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas SkyWorld Development, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, pihaknya percaya pengambilan projek perumahan mampu milik bandar di Malaysia akan kekal kukuh memandangkan permintaan terus mengatasi penawaran dalam segmen ini.
“Nisbah harga rumah kepada pendapatan telah secara konsisten kekal melebihi 4.0, meletakkan hartanah di Malaysia dalam kategori ‘sangat tidak mampu milik’ menurut piawaian global.
"Ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa terdapat permintaan signifikan yang masih belum dipenuhi untuk rumah pada harga yang berpatutan," katanya.- DagangNews.com








