KUALA LUMPUR 29 Okt – Perkembangan positif di Gaza, khususnya menjelang gencatan senjata, dilihat membantu memulihkan sentimen pengguna terhadap jenama Nestle (Malaysia) Berhad, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu menambah, sebelum ini syarikat berkenaan memang terkesan teruk akibat isu tekanan boikot pengguna di Malaysia terutama daripada masyarakat Islam dan penyokong Palestin.
Jelasnya, proses pemulihan syarikat tersebut ketika ini dilihat semakin jelas, disokong pula oleh strategi pemasaran agresif dan momentum jualan yang lebih kukuh mengembalikan keyakinan pengguna.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' tetapi dengan harga sasaran baharu iaitu RM120 berbanding RM121 sesaham sebelum ini, mewakili potensi kenaikan sebanyak 12%," kata RHB Research dalam notanya.
Ia turut optimis dengan anggaran hasil dividen diraih Nestle mampu mencecah sekitar 3% bagi tahun kewangan 2026, berdasarkan keputusan kewangan sembilan bulan pertama 2025 berada dalam jangkaan.
Semalam, kumpulan berkenaan mengumumkan keuntungan bersih teras sebanyak RM421 juta, naik 3% tahun ke tahun (YoY) yang menyumbang 73% daripada unjuran firma dan 82% daripada unjuran konsensus.
Hasil kata RHB Research meningkat 9% YoY kepada RM5.2 bilion, dipacu pertumbuhan konsisten dalam pasaran domestik dan eksport, manakala eksport mencatatkan dua digit pada suku ketiga 2025.
"Perkembangan positif ini turut mengukuhkan kedudukan Nestle Malaysia sebagai hab pengeluaran produk halal yang paling besar dalam Kumpulan Nestle di pasaran dunia," kata firma berkenaan.
Artikel berkaitan: Keuntungan bersih Nestle Malaysia meningkat kepada RM114.04 juta bagi 3QFY2025
Walaupun margin keuntungan kasar (GPM) masih ditekan kos bahan mentah tinggi, syarikat mencatat pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 3% YoY dan pendapatan 3Q25 meningkat 6% suku ke suku (QoQ).
Keadaan tersebut jelas RHB Research, berikutan isu faktor pengurangan perbelanjaan pemasaran yang turut membantunya dalam meningkatkan keuntungan bersih teras sebanyak 11% QoQ kepada RM137 juta.
Dividen interim bagi tempoh 9M25 juga meningkat kepada RM1.30 sesaham berbanding RM1.05 dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong lonjakan aliran tunai bebas kepada sebanyak RM769 juta.
"Kami menjangkakan pemulihan Nestle akan terus kukuh, didorong oleh sentimen pengguna yang semakin pulih serta strategi pemasaran yang berkesan untuk meraih semula keyakinan pasaran," menurutnya.
Selain itu kata RHB Research, penurunan harga komoditi utama seperti koko, gandum, susu tepung dan gula dijangka memulihkan margin untung menjelang akhir 2025, di samping pengukuhan nilai ringgit.
Tambahan pula, peruntukan tinggi program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2026 akan memberi manfaat kepada Nestle, disebabkan kedudukan kukuh dalam kategori produk harian.
Justeru katanya, ia turut menegaskan permintaan makanan ruji akan kekal stabil, disokong oleh pertumbuhan gaji, kestabilan pasaran pekerjaan, serta rangkaian pengedaran Nestle yang kukuh.
"Bagaimanapun kumpulan perlu berwaspada beberapa risiko utama termasuk kenaikan mendadak harga komoditi global dan kemerosotan besar bahagian pasaran daripada jangkaan," kata RHB Research.
Secara keseluruhan, sentimen pengguna susulan perkembangan positif di Gaza, kejatuhan kos bahan mentah, serta prospek pertumbuhan eksport kukuh berjaya membantu syarikat itu. - DagangNews.com








