KUALA LUMPUR 28 Okt – Nestlé (Malaysia) Bhd mencatatkan keuntungan bersih suku ketiga 2025 meningkat 34% berbanding tempoh sama tahun lalu, hasil daripada peningkatan jualan serta langkah kawalan kos yang berkesan.
Keuntungan bersih bagi tiga bulan hingga 30 Sept 2025 ialah RM114.04 juta atau bersamaan 48.43 sen sesaham, manakala hasil meningkat 22% kepada RM1.76 bilion, disumbangkan oleh jualan domestik dan eksport.
Syarikat turut mengumumkan dividen interim sebanyak 60 sen sesaham, bernilai RM140.7 juta, dengan tarikh kelayakan pada 19 Nov dan pembayaran dijadualkan pada 10 Dis.
“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, keuntungan bersih meningkat 3.5% kepada RM387.5 juta manakala hasil pula naik 9.4% kepada RM5.2 bilion.
“Nestlé Malaysia komited untuk terus memberikan nilai mampan melalui inovasi, kecemerlangan operasi serta strategi berfokuskan pengguna.
“Syarikat juga menekankan usaha mengekalkan kecekapan, penjimatan kos dan pendigitalan bagi menguruskan kos input serta menyokong pelaburan pembangunan jenama sepanjang 2025,” kata Nestlé Malaysia dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, beberapa firma penyelidikan menjangka Nestlé Malaysia akan terus berada di landasan pemulihan selepas terkesan gerakan boikot pengguna pada tahun kewangan 2024.
Maybank Investment Bank berkata, data terkini menunjukkan berlaku peningkatan jualan domestik pelbagai produk keluaran syarikat berkenaan sebanyak 6% tahun ke tahun (YoY) pada suku kedua 2025 (2Q25).
Momentum pemulihan ini dijangka berterusan lagi pada separuh kedua tahun ini, didorong oleh skim bantuan tunai kerajaan menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bermula 31 Ogos 2025. - DagangNews.com








