KUALA LUMPUR 21 Okt - Sentimen pasaran dalam sektor hartanah tempatan dilihat sedikit terjejas sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu, dengan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 29 November 2025.
RHB Research berkata, ketidaktentuan politik jangka pendek di Sabah turut menyumbang kepada aktiviti jualan kecil-kecilan atau pengambilan untung dalam dua minggu kebelakangan ini.
“Kami menjangkakan sentimen pasaran akan pulih secara berperingkat sebaik sahaja pilihan raya negeri Sabah selesai, memandangkan asas sektor hartanah kekal kukuh" katanya dalam satu nota kajian.
Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi merupakan Ahli DewanUndangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
Firma penyelidikan itu berkata, Belanjawan 2026 bagaimanapun dilihat "neutral" kepada sektor hartanah dan sebarnag langkah baharu yang besar.
Katanya, antara pengumuman penting termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem untuk pembeli rumah pertama bagi hartanah berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2027, serta kadar duti setem baharu sebanyak 8% untuk pembeli asing, meningkat daripada 4% sebelum ini.
Bagaimanapun, RHB Research berkata, kadar duti setem lebih tinggi itu tidak akan menjejaskan permintaan hartanah mewah, terutama di kawasan Iskandar Malaysia, yang terus menerima limpahan pelaburan dan didorong oleh pembangunan infrastruktur yang pesat.
“Permintaan terhadap hartanah kediaman sederhana, projek bandar baharu serta hartanah industri kekal kukuh. Pemaju utama seperti Sime Darby Property, Sunway, Eco World dan Mah Sing juga giat menambah pegangan tanah baharu di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya.
Selain itu, sektor perindustrian terus menjadi pemacu utama, disokong oleh aliran masuk pelaburan asing berikutan dasar perdagangan ekstrem Amerika Syarikat terhadap China, yang mendorong syarikat multinasional Asia Timur menubuhkan hab pengeluaran dan gudang di Asia Tenggara.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor berkenaan, sambil menjangkakan keputusan kewangan suku ketiga 2025 yang akan diumumkan pada November ini menunjukkan peningkatan yang lebih baik daripada pemaju utama. - DagangNews.com








