KUALA LUMPUR 16 Julai - Prospek operasi Unisem (M) Bhd dijangka terus disokong oleh kekuatan segmen perindustrian dan pemulihan berterusan perniagaan automotif, walaupun syarikat itu masih berdepan cabaran daripada permintaan yang lebih lemah dalam segmen pengguna dan PC/notebook.
Menurut RHB Research, segmen perindustrian yang menyumbang kira-kira 27% kepada hasil dijangka kekal kukuh, manakala segmen automotif yang merangkumi 25% daripada hasil keseluruhan dijangka meneruskan momentum pemulihan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, pihaknya kekal berhati-hati terhadap segmen pengguna dan PC/notebook yang masing-masing menyumbang 21% dan 8% kepada hasil kumpulan berikutan risiko permintaan yang dipengaruhi kenaikan harga memori.
"Ini sejajar dengan anggaran Counterpoint Research yang menjangkakan penghantaran telefon pintar global menguncup 11% pada suku kedua, sekali gus berpotensi menjejaskan kadar penggunaan kapasiti operasi Unisem di China," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Research berkata, kilang baharu Unisem di Gopeng terus meningkatkan kadar pengeluaran dan kini menyumbang kira-kira 40% daripada hasil operasi Malaysia, manakala operasi domestik dijangka mula menyumbang kepada keuntungan pada separuh kedua 2026.
Dalam masa sama, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "Neutral" terhadap saham Unisem, namun menaikkan harga sasaran kepada RM4.60 daripada RM3.37 sebelum ini selepas mengemas kini andaian penilaiannya.
Harga Saham Semasa
Katanya, walaupun kitaran peningkatan sektor semikonduktor dijangka menyokong peningkatan kadar penggunaan kapasiti, prospek pemulihan pendapatan dalam jangka pendek dilihat telah banyak diterjemahkan dalam harga saham semasa.
"Unisem kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 73 kali bagi FY26F dan 31 kali bagi FY27F, selain masih berdepan risiko tekanan harga saham susulan cadangan penempatan saham.
"Margin keuntungan juga kekal terdedah kepada struktur kos yang lebih tinggi, turun naik kadar pertukaran asing serta kemungkinan kadar penggunaan kapasiti yang lebih rendah dalam segmen pengguna," katanya.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1Q26), Unisem merekodkan hasil sebanyak RM464.7 juta, meningkat 9.7% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, namun mencatatkan kerugian teras RM9.5 juta berbanding keuntungan RM4.3 juta pada 1Q25.
Prestasi itu dipengaruhi oleh peningkatan struktur kos susulan peluasan kapasiti, kadar penggunaan lebih rendah di China, kesan pertukaran asing dan kenaikan kos bahan mentah.
Bagaimanapun, syarikat menjangkakan hasil bagi suku kedua 2026 meningkat antara 15% hingga 20% berbanding suku sebelumnya, didorong momentum permintaan yang lebih kukuh serta peningkatan pengeluaran bagi program baharu yang dijangka mengembalikan syarikat kepada keuntungan.
Penempatan Saham
Mengenai cadangan penempatan saham, RHB Research menyifatkan langkah itu sebagai neutral kerana walaupun ia memberi kesan pencairan segera kepada pendapatan sesaham (EPS), hasil kutipan modal akan mempercepatkan pelan peluasan kapasiti serta mengurangkan kos pembiayaan.
Daripada hasil penempatan sebanyak RM468 juta, kira-kira 60% akan digunakan bagi perbelanjaan modal termasuk pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan bilik bersih di kilang baharu Gopeng, manakala 36% diperuntukkan bagi pembayaran balik hutang dan bakinya untuk modal kerja serta kos berkaitan penempatan.
RHB Research turut menyemak semula unjuran pendapatan FY26F dengan menurunkannya sebanyak 9.7% bagi mengambil kira margin yang lebih lemah akibat aktiviti pemindahan operasi.
Bagaimanapun, unjuran pendapatan FY27F dan FY28F masing-masing dinaikkan sebanyak 10.2% dan 8.2%, disokong jangkaan margin yang lebih kukuh serta kos faedah yang lebih rendah. - DagangNews.com








