KUALA LUMPUR 16 Julai – Vale Malaysia dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menjalin kerjasama bagi melaksanakan projek pembangunan komuniti serta naik taraf bernilai RM8 juta di empat kawasan tumpuan awam di daerah Manjung dalam tempoh lima tahun.
Kerjasama itu bertujuan mengubah suai lokasi tumpuan awam utama di Manjung, selain menampilkan identiti warisan tempatan serta meningkatkan tarikan pelancongan di daerah berkenaan.
Melalui MoU tersebut, empat lokasi utama iaitu Manjung Lama, Beruas, Teluk Batik dan Stadium MPM akan menerima pelbagai inisiatif pembangunan yang disesuaikan mengikut ciri dan potensi setiap kawasan.
Di Manjung Lama, perhatian akan diberikan kepada elemen makanan dan budaya tempatan, manakala Beruas akan diketengahkan sebagai lokasi pelancongan berasaskan sejarah dan warisan.
Teluk Batik pula akan dibangunkan dengan pendekatan ekopelancongan, sementara kawasan Stadium MPM akan dijadikan ruang aktiviti komuniti yang menyokong gaya hidup sihat serta kesedaran terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta memainkan peranan penting dalam mewujudkan kawasan yang lebih mesra komuniti tanpa mengetepikan identiti asal sesuatu tempat.
Beliau berkata inisiatif tersebut selaras dengan usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta menambah pilihan tarikan pelancongan di negeri Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Vale di Malaysia, Edwin Gerard pula berkata kerjasama itu menunjukkan komitmen syarikat untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti di kawasan operasi mereka.
Menurut beliau, projek berkenaan akan memberi tumpuan kepada penghasilan ruang awam yang lebih menarik, mengangkat warisan tempatan dan menyediakan manfaat jangka panjang kepada penduduk Manjung.

Bagi Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian Suri pula, kerjasama bersama Vale sebelum ini telah membantu mengubah beberapa kawasan awam menjadi lokasi yang lebih menarik untuk komuniti dan pengunjung.
Beliau berkata usaha berterusan itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti pelancongan serta memberi manfaat kepada perniagaan tempatan.
Vale Malaysia merupakan operasi tempatan kepada Vale S.A, syarikat perlombongan global berpangkalan di Brazil yang merupakan antara pengeluar bijih besi terbesar dunia.
Di Malaysia, Vale mengendalikan Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) di Manjung yang mula beroperasi pada 2014 menerusi pelaburan kira-kira AS$1.4 bilion.
MoU ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Komuniti (CDP) 3.0 Vale bernilai kira-kira RM20 juta untuk tempoh lima tahun yang merangkumi bidang pendidikan, pemuliharaan biodiversiti, pembangunan bandar dan penglibatan komuniti.
Sebelum ini, menerusi CDP 2.0, Vale bersama MPM telah melaksanakan projek menaik taraf ruang awam di Beruas, Manjung Lama dan Teluk Batik termasuk mural bertemakan warisan, arca mercu tanda serta kemudahan awam.
Projek terdahulu itu turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Sapphire kategori Back Lanes and Side Alleys di Malaysia Places Awards 2025, selain membantu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Menerusi kerjasama terbaharu ini, Vale dan MPM akan melaksanakan projek secara berperingkat bagi menjadikan kawasan tumpuan awam di Manjung lebih menarik, selesa dan memberi manfaat kepada komuniti setempat. - DagangNews.com








