PublicInvest optimis kenaikan kos peralatan import tidak jejaskan pertumbuhan CBH Engineering | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest optimis kenaikan kos peralatan import tidak jejaskan pertumbuhan CBH Engineering

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 JulaiCBH Engineering Holding Berhad dijangka terus menikmati pertumbuhan pendapatan setabil dipacu permintaan terhadap pembangunan pesat pusat data (DC) di Malaysia.

 

Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), konflik di Timur Tengah yang memberi tekanan kepada kos peralatan import dan logistik diyakini tidak menjejaskan kedudukan kewangan kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan tersebut melihat syarikat itu berjaya mengurus cabaran harga menerusi strategi penguncian harga sebaik kontrak diperoleh serta mengambil kira kenaikan kos dalam tender baharu.

 

"Momentum pelaburan DC kekal kukuh dan menyediakan keterlihatan hasil kepada CBH, serta mendorong kami untuk mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 84 sen sesaham," katanya.

 

Seiring prospek semakin positif, PublicInvest menaikkan unjuran keuntungan kumpulan itu bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 masing-masing 22%, 27% dan 33%, disokong aliran projek yang sihat.

 

Ujarnya, sasaran kontrak baharu bernilai RM600 juta bagi FY26 diyakini mampu dicapai, dipacu buku tender berjumlah RM1.3 bilion, dengan kira-kira 80% daripadanya terdiri daripada projek DC.

 

CBH Engineering_DagangNews

 

Walaupun tender baharu setakat tahun ini hanya RM60 juta, ia berpandangan jumlah semasa memberikan keyakinan terhadap pengisian semula buku tempahan CBH, selain risiko pelaksanaan kekal terkawal.

 

"Kami turut menjangka sebahagian besar buku tempahan semasa bernilai RM600 juta diiktiraf sebagai hasil dalam FY26, yang menyediakan sokongan kukuh kepada prestasi kewangan," kata PublicInvest.

 

Dalam perkembangan lain, syarikat itu berjaya memperoleh projek pertama dalam sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), sekali gus menandakan langkah strategik perluasan kepakaran segmen baharu.

 

Walaupun CBH berkepakaran dalam pembinaan pencawang DC, ia mempunyai keupayaan teknikal dan tenaga kerja melaksanakan projek BESS serta membina rekod prestasi bagi memperoleh kontrak.

 

Prospek jangka panjang kumpulan itu ujar PublicInvest, terus disokong oleh perbelanjaan besar syarikat-syarikat teknologi global terhadap pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).

 

"Situasi semasa dilihat membuka peluang memandangkan kepakaran utamanya dalam kerja infrastruktur elektrik, di samping usaha berterusan mempelbagaikan sumber hasil," katanya. - DagangNews.com