Harga minyak sawit mentah tetap kukuh walaupun berlaku lambakan stok pada 2H26, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah tetap kukuh walaupun berlaku lambakan stok pada 2H26, kata Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 JulaiSektor perladangan dijangka terus disokong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang kekal tinggi meskipun inventori komoditi itu berlaku lambakan, menurut Phillip Capital.

 

Firma itu namun melihat persaingan eksport daripada Indonesia serta kenaikan kos buruh, logistik dan baja dijangka terus menjadi cabaran utama kepada pengeluar sepanjang separuh kedua 2026 (2H26).

 

Stok minyak sawit Malaysia meningkat 4.8% kepada 2.54 juta tan bagi Jun 2026 selepas pengeluaran tinggi mengatasi pertumbuhan eksport dan penggunaan domestik, mencerminkan peningkatan bermusim.

 

"Inventori dijangka kekal sekitar 2.8 juta tan untuk beberapa bulan berikutan musim pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang kelazimannya memuncak sehingga tempoh suku ketiga 2026," kata Phillip Capital.

 

Harga MSM diunjur kekal berdaya tahan dalam julat RM4,300 hingga RM4,700 satu tan pada 2H26, disokong permintaan global serta asas penawaran yang lebih seimbang menjelang penghujung tahun.

 

Justeru firma itu mengekalkan unjuran purata harga MSM masing-masing RM4,350 satu tan bagi 2026 dan RM4,400 satu tan bagi 2027, selain mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor perladangan.

 

sawit_DagangNews2026

 

Pengeluaran MSM ujar Phillip Capital meningkat kepada 1.64 juta tan pada Jun 2026 susulan FFB bertambah 11%, dan diunjur sederhana apabila hasil kembali normal dipengaruhi oleh faktor cuaca.

 

"Eksport naik kepada 1.20 juta tan pada Jun 2026, dipacu permintaan dari India, China, Afrika dan benua Amerika, mencerminkan daya saing berbanding minyak kacang soya di pasaran global," jelasnya.

 

Risiko penurunan harga MSM dijangka kekal terhad kerana permintaan terus disokong oleh aktiviti penambahan stok menjelang musim perayaan utama di China dan India, selain isu fenomena El Niño.

 

Phillip Capital berpandangan peningkatan mandat biodiesel global, dan pertumbuhan pengeluaran minyak sawit yang sederhana akan terus menyokong prospek harga komoditi itu bagi jangka sederhana.

 

Dalam kalangan syarikat perladangan di bawah liputannya, ia mengekalkan SD Guthrie Berhad sebagai pilihan utama dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM7 sesaham, disokong operasi huluan.

 

"Kumpulan itu potensi menjana nilai daripada aset tanah, aliran tunai yang kukuh serta pertumbuhan baharu dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pembangunan perindustrian," katanya. - DagangNews.com