Pemaju 8 Conlay bakal gulung tikar selepas perintah mahkamah, GDB buru semula tunggakan RM141.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemaju 8 Conlay bakal gulung tikar selepas perintah mahkamah, GDB buru semula tunggakan RM141.9 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – GDB Holdings Bhd meneruskan usaha mendapatkan semula tuntutan berjumlah lebih RM140 juta selepas pemaju projek 8 Conlay, Damai City Sdn Bhd (DCSB) diperintahkan untuk dibubarkan melalui proses mahkamah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GDB berkata anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB) telah dimaklumkan mengenai perintah penggulungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap DCSB.

 

Perintah tersebut dibuat susulan petisyen yang difailkan oleh TSL Victory Sdn Bhd di bawah Akta Syarikat 2016, yang membawa kepada pelantikan pelikuidasi bagi menguruskan proses penyelesaian aset dan liabiliti syarikat pemaju berkenaan.

 

Mahkamah Tinggi turut melantik Lim Tian Huat dan Chiang Teng Guan daripada Rodgers Reidy & Co sebagai pelikuidasi bersama DCSB selepas permohonan dikemukakan oleh GDBSB.

 

GDBSB hadir dalam prosiding tersebut sebagai pemiutang bagi membantah cadangan pelikuidasi yang dikemukakan oleh pihak yang memfailkan petisyen, sekali gus memastikan proses pengurusan selepas perintah penggulungan dilaksanakan secara sewajarnya.

 

Tuntutan RM141.9 Juta Jadi Fokus Utama GDB

GDB berkata, pihak peguam syarikat kini sedang memberikan nasihat mengenai langkah seterusnya berhubung tindakan undang-undang yang masih berjalan terhadap DCSB.

 

Perkembangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan GDB untuk mendapatkan semula bayaran yang masih tertunggak berkaitan kerja pembinaan projek pembangunan bercampur 8 Conlay di Kuala Lumpur.

 

Sebelum ini, GDB telah memperoleh keputusan Mahkamah Tinggi bagi menguatkuasakan anugerah adjudikasi berjumlah kira-kira RM141.9 juta terhadap DCSB berkaitan tuntutan kerja pembinaan yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

 

Selain tuntutan terhadap DCSB, GDB turut memperoleh penghakiman berasingan berjumlah RM102.8 juta terhadap syarikat induk pemaju itu, KSK Land Sdn Bhd, berdasarkan jaminan korporat.

 

Pemulihan Dana Berdepan Cabaran Susulan Likuidasi KSK Land

Bagaimanapun, proses pemulihan dana tersebut masih berdepan ketidaktentuan selepas KSK Land turut berada dalam proses likuidasi selain memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

 

GDB berkata, walaupun perintah penggulungan terhadap DCSB membuka ruang kepada proses pemulihan tuntutan melalui pengurusan aset syarikat pemaju itu, jumlah sebenar yang berjaya diperoleh masih bergantung kepada kedudukan kewangan dan aset yang tersedia.

 

Projek 8 Conlay merupakan pembangunan bersepadu berprofil tinggi di Kuala Lumpur yang melibatkan komponen kediaman, hotel dan komersial. 

 

Namun, projek tersebut sebelum ini berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kewangan serta pertikaian pembayaran antara pihak berkaitan.- DagangNews.com