KUALA LUMPUR 18 Sept – Keputusan suku keempat tahun kewangan 2025 direkodkan Scientex Berhad dalam jangkaan, disokong momentum kukuh dalam segmen hartanah, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut menambah, kumpulan itu masih mencatatkan peningkatan 13.6% keuntungan bersih berbanding 4QFY24, meskipun perniagaan pembuatannya terus berdepan tekanan harga global.
Keuntungan teras setahun penuh FY25 sebanyak RM530.8 juta menyumbang 100.4% daripada unjuran firma itu dan 101.7% daripada konsensus pasaran, sekali gus mengesahkan unjuran semasa adalah realistik.
“Prestasi kukuh segmen hartanah mengimbangi kelemahan ketara seksyen pembuatan tertekan dengan persaingan harga dan penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS),” kata TA Securities dalam notanya.
Berdasarkan situasi positif itu, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas Scientex, tetapi menaikkan harga sasaran sesaham kepada RM4.97 daripada RM4.85, berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOP).
Segmen hartanah kumpulan berkenaan kata firma itu, mencatat pertumbuhan kasar sebanyak 14.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM592.3 juta, manakala hasil pula meningkat 8.1% YoY kepada RM2.0 bilion.
Prestasi ini disokong kemajuan pembinaan mantap dalam projek sedia ada, pelancaran projek baharu bernilai RM2.6 bilion, berbanding RM1.9 bilion pada FY24, serta purata kadar ambilan kukuh 70%.
“Permintaan berterusan terhadap rumah mampu milik, kadar faedah stabil dan saiz besar pegangan tanah besar sebagai faktor utama menyokong pertumbuhan hartanah Scientex,” jelas TA Securities.
Artikel berkaitan: Scientex catat hasil RM4.52 bilion pada FY25, untung 4QFY25 meningkat 13.6%
Tambahnya, pegangan tanah semasa Scientex berjumlah 4,465 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM53.0 bilion, memberikan ruang pertumbuhan jangka panjang yang amat besar.
Sebaliknya kata firma penyelidikan berkenaan, segmen pembuatan menyaksikan penurunan perolehan kasar sebanyak 31.3% YoY kepada RM149.8 juta, dengan hasil merosot 4.3% YoY kepada RM2.5 bilion.
TA Securities berkata, faktor penyumbang termasuk tekanan harga global, jualan mendatar, serta penyusutan dolar AS sebanyak 8.0% YoY terhadap ringgit memberi kesan negatif kepada hasil eksport.
"Bagi menangani cabaran ini, Scientex merancang meningkatkan kecekapan operasi menerusi automasi, pengurangan sisa bahan mentah, dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya lagi.
Ketika ini tambah firma itu, sebanyak 10 daripada 16 fasiliti pembuatan syarikat tersebut di Malaysia sudah dipasang panel solar atas bumbung, dan menjana penjimatan kos tahunan RM15 juta.
Kumpulan berkenaan kata TA Securities, turut mengumumkan dividen akhir sebanyak 6.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen pada FY25 kepada 12.0 sen sesaham, kekal berbanding tahun sebelumnya.
Justeru, ia menaikkan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 4.1% dan 4.5%, serta memperkenalkan unjuran FY28 dengan keuntungan dijangka meningkat 4.4% kepada RM655.3 juta.
“Dengan sokongan kukuh daripada segmen hartanah dan strategi penambahbaikan operasi yang jelas dalam pembuatan, kami kekal positif terhadap prospek Scientex,” ujar firma itu. - DagangNews.com








