KUALA LUMPUR 17 Sept – Scientex Bhd, pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM154.3 juta bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2025 (4QFY2025), meningkat 13.6% berbanding RM135.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil kumpulan pula meningkat 2.1% kepada RM1.19 bilion berbanding RM1.17 bilion sebelumnya, didorong prestasi kukuh segmen hartanah yang melonjak 12.2% kepada RM580 juta berbanding RM517 juta.
Pertumbuhan ini disokong pelancaran projek baharu dan kemajuan kerja-kerja pembinaan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Johor.
Sebaliknya, segmen pembungkusan mencatatkan penurunan hasil 6% kepada RM612.5 juta berbanding RM651.3 juta, berikutan permintaan eksport yang lembap serta pergerakan mata wang asing.
Bagaimanapun, langkah penjimatan kos dan peningkatan kecekapan operasi membolehkan segmen itu kekal berdaya tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Scientex, Lim Peng Jin berkata, tahun kewangan 2025 merupakan tempoh pelaksanaan strategik dan ketahanan perniagaan syarikat.
“Permintaan berterusan terhadap rumah mampu milik mengukuhkan strategi jangka panjang kami untuk memperluaskan bank tanah dan pembangunan.
“Sehingga kini, lebih 42,000 rumah telah siap dan kami sedang menuju ke arah mencapai sasaran 50,000 unit menjelang 2028,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi tahun penuh berakhir 31 Julai 2025 (FY2025), Scientex mencapai hasil tertinggi baharu iaitu RM4.52 bilion berbanding RM4.48 bilion tahun lalu.
Beliau berkata, keuntungan bersih pula berjumlah RM530.8 juta berbanding RM545.2 juta.
“Segmen hartanah menjana hasil RM2.03 bilion, meningkat daripada RM1.88 bilion sebelum ini, disokong kadar jualan kukuh dan pelancaran baharu.
“Kumpulan turut melengkapkan pengambilalihan tanah seluas 3,735 ekar di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka untuk mengukuhkan lagi landasan pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, segmen pembungkusan pula merekodkan hasil RM2.48 bilion berbanding RM2.59 bilion pada tahun sebelumnya, terkesan oleh permintaan eksport yang lemah serta persaingan pasaran.
Namun, beliau berkata, syarikat terus memfokuskan aspek pendigitalan, pembangunan bakat serta pemasangan sistem solar fotovolta (PV) bumbung 21MWp di fasiliti Malaysia bagi mengurangkan kos tenaga dan pelepasan karbon.
Bagi mengimbangi prestasi kepada pemegang saham, Scientex mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 6 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen FY2025 kepada 12 sen sesaham atau RM186.8 juta bersamaan 35.2% daripada keuntungan bersih tahun penuh.
“Dividen akhir itu akan dibayar pada 23 Januari 2026 tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan akan datang,” katanya. - DagangNews.com








