Scientex cadang guna tanah baharu diambil alih di Melaka untuk pembangunan bercampur - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Scientex cadang guna tanah baharu diambil alih di Melaka untuk pembangunan bercampur - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Syarikat pengeluar produk pembungkusan dan pemaju hartanah, Scientex Bhd bercadang untuk menggunakan tanah yang baharu diambil alih daripada Genting Plantations Bhd seluas 213.9 hektar di Melaka bagi pembangunan hartanah bercampur, kata Kenanga Research.

 

Pada asasnya, kumpulan itu merancang untuk terus memberi fokus kepada segmen perumahan mampu milik di negeri itu.

 

"Apabila dilancarkan, ia akan menjadi projek keempat Scientex di negeri ini. Bank tanah baharu itu bersambung dengan baik ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Sungai Udang - Paya Rumput- Ayer Keroh dan Lebuhraya Utara-Selatan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu membeli tanah itu pada harga RM333.8 juta atau RM14.50 sekaki persegi daripada Genting Plantations.

 

Pengambilalihan itu akan meningkatkan simpanan tanahnya yang sedia ada, yang sejajar dengan matlamat syarikat untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Genting Plantations lupus dua bidang tanah pertanian lebih RM330 juta di Melaka kepada Scientex Heights

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk menyiapkan 50,000 rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2028.

 

Tanah itu dijangka menyediakan model pembangunan hartanah yang mantap dan mampan kerana Scientex terus memberi tumpuan kepada hartanah bertanah dengan harga mampu milik di mana permintaan terus kekal teguh dan berdaya tahan.

 

Kenanga Research percaya Scientex mendapat tawaran yang adil memandangkan harga yang diminta untuk tanah kediaman di kawasan sekitar yang berkisar antara RM12 hingga RM18 bagi setiap kaki persegi.

 

Kataya, pengambilalihan itu akan meningkatkan hutang dan penggearan bersihnya daripada RM1.32 bilion dan 0.34x pada akhir Oktober 2024 kepada RM1.65 bilion dan 0.42x, masing-masing, tetapi masih boleh diurus. 

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana daya saingnya dalam industri pembungkusan plastik global memandangkan saiz dan struktur kos rendahnya berbanding pesaingnya di luar negara dan kedudukan kukuh dalam segmen perumahan mampu milik di Johor," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) RM4.24 sesaham. - DagangNews.com