KUALA LUMPUR 24 Jan - Genting Plantations Bhd mengumumkan menjual dua bidang tanah pertanian pemegang bebas seluas 213.9 hektar di Melaka kepada Scientex Heights pada harga lebih RM330 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perladangan minyak sawit itu berkata, penjualan tanah tersebut akan dikendalikan oleh dua syarikat nak milik penuhnya, Genting Plantations (WM) Sdn Bhd (GPWM) dan Genting Property Sdn Bhd (GPSB).
Katanya, GPWM dan GPSB memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Scientex Heights Sdn Bhd pada 24 Januari 2025.
Penjualan tanah itu dijangka selesai menjelang separuh kedua 2025.
“Berdasarkan penilaian dalaman kumpulan, penjualan tanah itu adalah pilihan terbaik berbanding meneruskan aktiviti perladangan semasa atau memulakan pembangunan hartanah di atasnya.
"Penjualan itu tidak akan memberi kesan ketara kepada pendapatan aktiviti perladangan masa depan kumpulan kerana keluasan tanah tersebut mewakili kurang daripada 1% daripada jumlah kawasan tanaman kumpulan di Malaysia," katanya.
Kumpulan itu berkata, tanah yang dijual itu tidak lagi akan menyumbang kepada hasil Genting Plantation.
Walau bagaimanapun, penjualan itu tidak akan memberi kesan kepada pendapatan masa depan kumpulan kerana kawasan itu sangat kecil.
"Penjualan itu tidak akan menjejaskan modal saham kumpulan kerana keseluruhan jualan akan dibayar secara tunai, kami menjangkakan jualan itu menjana keuntungan sekali sahaja kira-kira RM284.92 juta, atau 32 sen setiap saham.
“Keuntungan sebenar bergantung kepada nilai buku bersih tanah selepas jualan itu selesai.
Selepas mempertimbangkan semua aspek, kumpulan itu percaya keputusan penjualan itu adalah demi kepentingan terbaik Genting Plantations. - DagangNews.com








