KUALA LUMPUR 6 Julai – MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Maxis Berhad dan harga sasaran (TP) RM4.05, sambil berpandangan syarikat terus mencatat keuntungan beberapa tahun.
Bagaimanapun ujarnya, cabaran utama kini adalah memastikan agenda kelestarian atau alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa menjejaskan prestasi operasinya.
Firma itu berkata, kumpulan tersebut membuktikan keupayaannya meningkatkan keuntungan selepas cukai (PAT) daripada RM993 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23) kepada RM1.561 bilion pada FY25.
"Perkembangan ini mencerminkan kekuatan model perniagaan Maxis serta disiplin pengurusan kos dalam persekitaran industri telekomunikasi semakin kompetitif," jelas MBSB Research dalam nota analisis.
Pada masa sama, ia turut menunjukkan komitmen sebagai sebuah syarikat bertanggungjawab menerusi pelbagai inisiatif kelestarian yang membolehkannya meraih penarafan ESG daripada beberapa agensi.
Jelasnya, situasi itu menunjukkan keupayaan baik pengurusan risiko ESG berkaitan dengan industri telekomunikasi, di samping berdepan beberapa risiko yang memerlukan penambahbaikan berterusan.

Menurut MBSB Research, penarafan turut mengesahkan Maxis berada di kedudukan baik daripada syarikat tersenarai yang lain, dan meningkatkan keyakinan pelabur institusi terhadap prospek jangka panjang.
"Kepentingan ESG semakin meningkat apabila pelabur institusi global menjadikan pendedahan serta pengurusan sebagai antara faktor utama daya tahan kewangan dan mencipta nilai mampan," tambahnya.
Selain itu, aspek pematuhan juga menjadi semakin penting berikutan syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia perlu memenuhi keperluan National Sustainability Reporting Framework (NSRF).
Justeru, MBSB Research berpandangan pelanggan, pekerja dan pelbagai pihak berkepentingan kini lebih cenderung memilih organisasi yang mempunyai nilai ESG yang kukuh, seperti ditunjukkan oleh Maxis.
Ia menegaskan pelaksanaan bukan sekadar menggabungkan aspek ESG dalam satu rangka kerja, sebaliknya memerlukan pengagihan sumber lebih strategik kerana setiap isu memiliki skop tumpuan yang berbeza.
"Bagi industri telekomunikasi, syarikat ini perlu mengutamakan pengukuhan tadbir urus terlebih dahulu bagi mengukuh keyakinan pelabur serta menyokong pertumbuhan mampan," katanya. - DagangNews.com








