Saham UEM Sunrise meningkat susulan Maybank lebih optimis terhadap perjanjian pembangunan bersama EXSIM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham UEM Sunrise meningkat susulan Maybank lebih optimis terhadap perjanjian pembangunan bersama EXSIM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Julai — Saham UEM Sunrise Bhd mencatatkan kenaikan selepas Maybank Investment Bank menaik taraf saranan kepada “Beli” daripada “Pegang”, susulan perjanjian hak pembangunan (DRA) kumpulan itu dengan EXSIM Development Sdn Bhd bagi memanfaatkan nilai tanah di Jalan Ampang.

 

Maybank mengekalkan harga sasaran pada RM0.66, yang mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 12%, dengan perjanjian tersebut dilihat sebagai pemangkin utama kepada penzahiran nilai dan peningkatan visibiliti pendapatan.

 

Di bawah perjanjian itu, EXSIM akan mengambil alih pelaksanaan pembangunan, pembiayaan serta risiko berkaitan bagi tanah seluas 1.6 ekar di lokasi premium Kuala Lumpur, manakala UEM Sunrise memperoleh jaminan kelayakan sebanyak RM415 juta serta tambahan potensi perkongsian keuntungan.

 

Penganalisis Maybank Investment Bank, Wong Wei Sum berkata struktur berkenaan membolehkan UEM Sunrise merealisasikan nilai aset tanah yang telah dibeli pada harga RM2,588 setiap kaki persegi pada 2008, di samping mengitar semula modal ke arah projek pembangunan yang lebih berkeutamaan serta memperkukuh kecekapan kunci kira-kira.

 

ARTIKEL BERKAITAN: UEM Sunrise, EXSIM KLCC bekerjasama laksana pembangunan hartanah premium di KLCC

 

Memindahkan Risiko

Beliau menambah, urus niaga itu secara efektif memindahkan risiko pembangunan dan pelaksanaan kepada EXSIM, namun pada masa sama mengekalkan pendedahan UEM Sunrise kepada potensi keuntungan melalui mekanisme perkongsian keuntungan.

 

Wong berkata perjanjian itu turut meningkatkan kejelasan pendapatan jangka dekat serta berpotensi menjadi pemangkin positif kepada harga saham.

 

"Ini khususnya apabila minat pelabur terhadap pemaju hartanah berkaitan Johor dijangka meningkat menjelang siapnya projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura menjelang akhir 2026.

 

Setakat jam 9.49 pagi pada 6 Julai, saham UEM Sunrise meningkat 1.7% kepada RM0.605.

 

Menerusi perjanjian itu, UEM Sunrise akan memberikan hak kepada EXSIM KLCC untuk melaksanakan dan menyiapkan pembangunan di tapak berkenaan, sekali gus menggabungkan aset tanah strategiknya dengan kepakaran pemaju yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam pembangunan hartanah premium di kawasan KLCC.

 

Sebagai balasan, UEM Sunrise akan menerima hak terjamin sebanyak RM415 juta, selain berpeluang menikmati pulangan tambahan menerusi mekanisme perkongsian keuntungan yang dipersetujui kedua-dua pihak. - DagangNews.com