KUALA LUMPUR 6 Julai - Pelabur asing terus mengurangkan pegangan dalam pasaran saham tempatan apabila merekodkan jualan bersih bagi minggu kelapan berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah RM391.1 juta di Bursa Malaysia, menurut MBSB Research.
Sepanjang minggu dagangan lalu, institusi asing menjadi penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan, dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada Selasa sebanyak RM183 juta, diikuti Khamis (RM144.9 juta) dan Rabu (RM130.3 juta).
Bagaimanapun, pasaran menyaksikan aliran masuk bersih daripada pelabur asing pada Isnin sebanyak RM55.4 juta dan Jumaat sebanyak RM11.7 juta.
Dari segi sektor, pelabur asing lebih cenderung menambah pegangan dalam sektor Teknologi yang mencatat aliran masuk bersih RM41.6 juta, diikuti sektor Pengangkutan dan Logistik (RM26 juta) serta Pembinaan (RM22.2 juta).
Sebaliknya, sektor Perkhidmatan Kewangan merekodkan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM252.2 juta, diikuti Produk dan Perkhidmatan Pengguna (RM60 juta) serta Penjagaan Kesihatan (RM59.3 juta).
Dalam kalangan pelabur domestik, institusi tempatan terus menjadi penyokong utama pasaran apabila melanjutkan rekod belian bersih kepada 12 minggu berturut-turut dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM474.6 juta.
Pada masa sama, pelabur runcit kembali menjadi penjual bersih selepas mencatat belian bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM83.5 juta.
Dari sudut aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) menyusut bagi semua kategori pelabur sepanjang minggu tersebut. Institusi tempatan mencatatkan penurunan terbesar sebanyak 23.4%, diikuti pelabur runcit sebanyak 12.7%, manakala institusi asing merekodkan penyusutan 5.9%.
Trend aliran dana itu menunjukkan sentimen pelabur asing terhadap pasaran ekuiti tempatan masih berhati-hati, walaupun minat terhadap beberapa sektor berorientasikan pertumbuhan seperti teknologi, pembinaan serta pengangkutan dan logistik kekal positif. - DagangNews.com








