KUALA LUMPUR 6 Julai – Public Investment Bank (PublicInvest) mengekalkan saranan 'outperform' ke atas QES Group Berhad dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada 61 sen daripada 56 sen sebelum itu.
Firma penyelidikan tersebut berpandangan, kemasukan sejumlah pelabur strategik dari China baru-baru ini dilihat mampu mempercepatkan lagi pertumbuhan syarikat dalam segmen teknologi berimpak tinggi.
Bagaimanapun ujarnya, kejayaan pelaksanaan projek baharu dan pemindahan teknologi akan menjadi cabaran utama yang menentukan pencapaian kumpulan itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Justeru, kami tertarik dengan usaha QES mencadangkan penempatan persendirian sehingga 10% daripada modal saham terbitan atau 83.2 juta saham kepada Ray Tech Singapore Pte Ltd," jelas PublicInvest.
Tambahnya, syarikat berkenaan merupakan subsidiari milik penuh Unicomp Technology Group dari China, yang merupakan antara peneraju global dalam teknologi sistem pemeriksaan sinar-X terbaik dunia.
Cadangan itu dijangka menjana hasil kasar RM44.1 juta, yang akan digunakan bagi membina fasiliti baharu kilangnya di Batu Kawan, Pulau Pinang serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan penempatan.

Kata PublicInvest, transaksi itu bukan sekadar mengukuh kedudukan kewangan QES, malah mengeratkan kerjasama strategik dengan Unicomp menerusi perkongsian teknologi, kepakaran dan akses pasaran dunia.
"Selepas penempatan saham itu, nisbah gear dijangka bertambah baik kepada 0.26 kali daripada 0.31 kali, menyediakan kapasiti kewangan yang kukuh untuk menyokong pelan pengembangan," jelasnya.
Dana diperoleh akan diperuntukkan bagi pembinaan bilik bersih, iaitu komponen penting dalam proses pemindahan teknologi produk pembungkusan termaju untuk pasaran ASEAN dan Amerika Syarikat (AS).
PublicInvest turut dimaklumkan QES memperoleh dua tempahan awal bagi produk itu daripada sebuah syarikat pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT) tempatan yang dijangka dapat menjana kewangan.
Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 7% hingga 21%, walaupun kesan pencairan pegangan turut diambil kira dalam unjuran tersebut.
"Kami menjangka keputusan suku kedua berakhir 31 Julai 2026 mencatat prestasi positif, disokong peningkatan penghantaran produk ke AS, dan mengukuhkan prospek pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com








