KUALA LUMPUR 6 Julai - Skim Integrasi Ternakan dengan Sawit yang dilaksanakan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merupakan antara strategi penting Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam memperkukuh daya tahan ekonomi pekebun kecil.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, inisiatif tersebut turut menyokong agenda keterjaminan makanan negara menerusi kepelbagaian sumber pendapatan dan penggunaan optimum tanah pertanian.
Kementerian kata beliau, mahu lebih ramai pekebun kecil melihat kebun sawit bukan sekadar sebagai sumber pengeluaran tandan buah segar (TBS), sebaliknya sebagai platform menjana pelbagai sumber pendapatan melalui aktiviti integrasi yang berdaya maju dan mampan.
"Ini membuktikan bahawa bantuan kerajaan bukan sekadar meningkatkan produktiviti kebun, malah mampu mengubah taraf sosioekonomi pekebun kecil.
"Dengan modal permulaan RM15,000, peserta berjaya menjana pendapatan yang jauh lebih tinggi melalui kepelbagaian sumber pendapatan di kebun sawit.
"Kita mahu lebih ramai pekebun kecil melihat kebun sawit bukan hanya sebagai sumber pengeluaran TBS, tetapi sebagai platform menjana pelbagai sumber pendapatan melalui aktiviti integrasi yang berdaya maju dan mampan," katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) di Kampung Gombak, Mukim Peserai, di Batu Pahat pada Ahad.

Noraini berkata, Skim Integrasi Ternakan dengan Sawit itu merupakan komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil sawit persendirian selari dengan dasar keterjaminan makanan dan pertanian mampan.
Menurutnya, kerajaan sentiasa komited memperkasakan komuniti pekebun kecil melalui pelbagai program pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada golongan sasar demi kelestarian masa hadapan industri agrikomoditi negara.
Kisah Kejayaan
Kejayaan pekebun kecil sawit di Batu Pahat, Mohamad Danial Md. Jalil, menjadi bukti keberkesanan pendekatan tersebut apabila bantuan kerajaan sebanyak RM15,000 yang disalurkan oleh MPOB berjaya menghasilkan pulangan kasar hampir RM126,000 dalam tempoh kurang tiga tahun menerusi projek ITe melibatkan penternakan itik penelur.
Mengusahakan projek ternakan di kebun sawit seluas hanya 0.68 hektar, Mohamad Danial yang menerima bantuan MPOB pada Disember 2023 kini mempunyai 360 ekor itik penelur dengan pengeluaran mencecah 240 biji telur sehari.
Sehingga Mei 2026, projek tersebut telah merekodkan pengeluaran sebanyak 94,860 biji telur dengan nilai pendapatan kasar mencecah RM126,000, selain menjana pendapatan sampingan sekitar RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.
Selain menjual telur segar kepada pengguna dan pemborong, beliau turut mempelbagaikan produk dengan menghasilkan telur masin, sekali gus meningkatkan nilai tambah hasil ternakannya bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan termasuk tempahan untuk majlis keraian.
Projek itu turut memberi manfaat kepada aspek kemampanan ladang apabila sisa ternakan digunakan sebagai baja organik semula jadi yang membantu mengurangkan penggunaan baja kimia, meningkatkan kesuburan tanah dan mengoptimumkan penggunaan kawasan tanaman sawit.
Dr. Noraini berkata, kejayaan Mohamad Danial diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai pekebun kecil untuk meneroka projek integrasi yang bukan sahaja meningkatkan pendapatan isi rumah, malah menyumbang kepada pembangunan sektor agrikomoditi yang lebih mampan dan berdaya tahan. - DagangNews.com








