KUALA LUMPUR 6 Julai – Rohas Tecnic Bhd memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menamatkan siasatan terhadap anak syarikatnya, HG Power Transmission Sdn Bhd (HGPT) tanpa sebarang tindakan lanjut diambil terhadap syarikat itu atau individu yang berkaitan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Rohas Tecnic berkata HGPT telah menerima surat rasmi daripada SPRM yang mengesahkan siasatan berkenaan selesai sepenuhnya dan tiada pertuduhan, pendakwaan atau tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap syarikat, pemegang saham, pengarah semasa mahupun bekas pengarahnya.
“Perkembangan terbaharu itu menamatkan isu yang sebelum ini menjadi perhatian pihak berkepentingan serta memberikan kepastian kepada kumpulan berhubung status siasatan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Rohas Tecnic memaklumkan SPRM telah menarik balik perintah penyitaan ke atas akaun bank HGPT serta akaun milik kakitangan semasa dan bekas kakitangannya pada Jun lalu.
Ini membolehkan anak syarikat itu kembali menjalankan urusan perbankan seperti biasa.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tarik balik perintah beku akaun bank anak syarikat Rohas Tecnic, HG Power Transmission
Siasatan tersebut dikaitkan dengan sebuah kontrak yang diberikan kepada HGPT pada tahun 2015, iaitu dua tahun sebelum Rohas Tecnic mengambil alih syarikat berkenaan pada 2017.
Oleh itu, Rohas Tecnic menegaskan perkara berkenaan merupakan isu yang terpencil dan tidak mempunyai kaitan dengan operasi semasa mahupun kontrak-kontrak yang sedang dilaksanakan oleh kumpulan.
Dengan penutupan siasatan itu, syarikat percaya ia dapat memberikan keyakinan yang lebih kukuh kepada para pemegang saham, pelanggan, rakan niaga dan pihak berkepentingan terhadap kedudukan serta operasi kumpulan.
Rohas Tecnic turut menegaskan komitmennya untuk terus mengekalkan amalan tadbir urus korporat yang baik, integriti serta pematuhan terhadap semua keperluan kawal selia dalam setiap aspek operasinya. - DagangNews.com








