KUALA LUMPUR 26 Jun - Rohas Tecnic Berhad memaklumkan anak syarikatnya, HG Power Transmission Sdn. Bhd. (HGPT), bersama seorang pegawai semasa dan beberapa bekas pegawainya telah menerima perintah pembatalan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyitaan akaun bank yang dikenakan sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perintah pembatalan tersebut diterima pada 26 Jun 2026 dan dikeluarkan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Menurut Rohas Tecnic, perintah berkenaan membatalkan perintah penyitaan yang sebelum ini dikenakan ke atas semua akaun bank HGPT serta akaun bank peribadi pegawai semasa dan bekas pegawai syarikat terbabit.
"Sehubungan itu, semua akaun bank yang sebelum ini tertakluk kepada perintah penyitaan telah dilepaskan.
"HGPT kini bebas untuk menyambung semula operasi normal kemudahan perbankan dan aktiviti perniagaannya," katanya.
Pada 17 Oktober SPRM membeku dan menyita beberapa akaun bank milik Rohas Tecnic Bhd serta anak-anak syarikatnya, HG Power Transmission Sdn Bhd (HGPT) dan Rohas-Euco Industries Bhd (REI), yang dipercayai berkaitan dengan siasatan terhadap satu perjanjian pada tahun 2015.
Rohas Tecnic dan dua anak syarikatnya telah menerima perintah pembekuan dan penyitaan daripada SPRM, di mana perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) dan Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) terhadap beberapa akaun bank milik Rohas Tecnic, HGPT dan REI.
"Perintah ini dipercayai dikeluarkan sebagai sebahagian daripada siasatan SPRM berhubung satu kontrak yang dimeterai oleh HGPT pada tahun 2015, sebelum syarikat memperoleh HGPT pada tahun 2017. Syarikat kini sedang menilai kesan potensi perintah tersebut serta isu berkaitan ke atas operasi keseluruhan kumpulan," menurut kenyataan syarikat itu sebelum ini dalam makluman kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com








