Vestland menang kontrak RM135 juta bina kilang berstrata sembilan tingkat di Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vestland menang kontrak RM135 juta bina kilang berstrata sembilan tingkat di Klang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 JunVestland Holdings Berhad memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM135 juta daripada Golden Armani Sdn. Bhd. bagi melaksanakan kerja-kerja struktur atas untuk sebuah projek kilang berstrata sembilan tingkat di Bukit Raja, Klang, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kontrak berkenaan telah dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Vestland Resources Sdn. Bhd. (VRSB) menerusi Surat Anugerah yang diterima pada 26 Jun 2026.

 

Menurut Vestland, projek itu melibatkan pembinaan satu blok kilang berstrata sembilan tingkat berserta kemudahan berkaitan yang akan dibangunkan di PT 84557 dan PT 84558, Mukim Bukit Raja, Klang.

 

Skop kerja merangkumi reka bentuk, mendapatkan kelulusan, pembinaan, penyiapan, pengujian serta pentauliahan kerja-kerja struktur atas bagi pembangunan tersebut.

 

"Tempoh pelaksanaan kontrak adalah selama 36 bulan dari tarikh permulaan kerja yang akan dimaklumkan kemudian oleh Golden Armani," katanya.

 

Vestland berkata, kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu.

 

Bagaimanapun, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya, tertakluk kepada tiada kelewatan material dalam jadual pelaksanaan projek.

 

Menurut syarikat itu, kontrak berkenaan diperoleh dalam urusan perniagaan biasa VRSB dan pihaknya tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi yang lazim bagi projek pembinaan.

 

Golden Armani Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembangunan hartanah, pembinaan, perkhidmatan pemberian pinjaman wang, pegangan pelaburan, perdagangan dan penyediaan perkhidmatan.

 

Perolehan kontrak baharu itu dijangka terus mengukuhkan buku pesanan Vestland serta meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan bagi tempoh tiga tahun akan datang. - DagangNews.com