KUALA LUMPUR 23 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menolak permohonan Jentayu Sustainables Bhd (Jentayu) untuk melanjutkan tempoh bagi menyelesaikan pemerolehan tiga syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dicadangkan pada tahun 2021.
Kumpulan bahan binaan dan RE itu memaklumkan, keputusan SC yang menolak permohonan untuk melanjutkan tempoh hingga 26 Mac 2025 tersebut, dibuat melalui satu surat, semalam.
"Jawatankuasa pengarah akan mengadakan mesyuarat khas untuk memutuskan tindakan seterusnya," kata Jentayu dalam satu pemfailan di Bursa Malaysia.
Jentayu ketika masih dikenali sebagai Ipmuda Bhd, bercadang memperoleh tiga syarikat yang memiliki dan mengendalikan aset RE pada September 2021, dalam usaha menjadi syarikat yang sepenuhnya berfokus kepada RE.
Syarikat-syarikat tersebut, Telekosang Hydro One Sdn Bhd (Telekosang Hydro One) dan Telekosang Hydro Two Sdn Bhd (Telekosang Hydro Two) memiliki dan mengendalikan projek loji jana kuasa hidro Telekosang 40MW di Sabah, manakala Jentayu Solar Sdn Bhd memiliki dan mengendalikan loji kuasa solar 5.99MW di Pokok Sena, Kedah.
Pemerolehan tersebut dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan kerana syarikat-syarikat berkenaan dimiliki oleh Pengerusi Eksekutif Jentayu, Datuk Beroz Nikmal Mirdin dan isterinya, Datin Nurhaida Abu Sahid.
Nurhaida adalah anak kepada Pengerusi Eksekutif Maju Group dan bekas pemegang saham utama Jentayu, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.
Pembelian ekuiti itu dijangka dilaksanakan melalui transaksi tunai dan saham dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM11.11 juta untuk keseluruhan ekuiti Jentayu Solar dan RM139.53 juta untuk Telekosang Hydro One dan Telekosang Hydro Two.
Pada Mac 2024, Jentayu mengumumkan telah menerima kelulusan bersyarat daripada SC untuk meneruskan pemerolehan tersebut.
SC telah memberi kelulusan bersyarat kepada Jentayu bagi pemerolehan itu antaranya ialah menyediakan baki akaun rizab perkhidmatan kewangan minimum RM32.2 juta menjelang 6 Mei 2024, mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga mengenai perubahan pegangan saham.
Selain itu, Jentayu perlu memperuntukkan 12.5% daripada saham yang diperbesar kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan dalam tempoh setahun selepas mencatatkan keuntungan bersih atau tiga tahun selepas penyelesaian pemerolehan tersebut.
Bagaimanapun, pemfailan bursa Jentayu dan kenyataan yang mengumumkan kelulusan bersyarat itu tidak menyatakan tarikh akhir pematuhan syarat berkenaan.
Namun, perjanjian tambahan berkaitan pemerolehan itu telah melanjutkan tarikh pematuhan syarat terdahulu kepada 30 September 2024. - DagangNews.com








