KUALA LUMPUR 6 Julai – Isu ketidaktentuan di Timur Tengah, yang menjejaskan operasi Wasco Berhad di Qatar dijangka hanya bersifat sementara, tanpa menggugat pertumbuhan jangka panjangnya.
CGS International (CGSI) berpandangan asas perniagaan kumpulan kekal kukuh, disokong buku tender bernilai RM14 bilion, menjadikan penyusutan harga sahamnya baru-baru ini sebagai peluang menarik.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'tambah' namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.65 daripada RM1.75 selepas menyemak semula unjuran hasil berikutan kelewatan pelaksanaan beberapa projek.
"Tiada sebarang projek Wasco dibatalkan walaupun operasi pada separuh pertama FY26 terjejas oleh ketegangan di Timur Tengah, terutama di Qatar yang mewakili 20% daripada buku tempahan," jelas firma itu.
Menurut CGSI, limbungan berkenaan hanya ditutup sementara di negara itu selama tiga minggu, dan sudah beroperasi semula, namun pelaksanaan projek masih dibatasi kekurangan bekalan bahan mentah.
Pengurusan kumpulan tersebut menjangkakan keadaan kembali stabil secara berperingkat mulai Ogos 2026 apabila aliran stok bertambah baik, serta dinilai sebagai tidak mengganggu rantaian bekalan.

Katanya, projek-projek lain dalam buku tempahan Wasco masih berjalan mengikut perancangan, walaupun kos logistik dan rantaian inventori semasa meningkat susulan konflik geopolitik di Timur Tengah.
"Memandangkan hanya sebahagian daripada kenaikan kos tersebut boleh dipindahkan kepada pelanggan, tekanan terhadap margin untung syarikat dijangka berterusan dalam tempoh terdekat," tambah CGSI.
Bagi mencerminkan pelaksanaan projek yang perlahan serta andaian margin konservatif, firma itu menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) kumpula itu bagi FY26 hingga FY27 antara 9% hingga 31%.
Ia namun menjangka prestasi kewangan Wasco pulih mulai separuh kedua FY26 selari pelaksanaan projek dipercepatkan, disokong buku tempahan semasa bernilai RM2.6 bilion diraih pada suku pertama 2026.
Menurut CGSI, pihak pengurusan turut memaklumkan tahap pertanyaan daripada pelanggan semakin naik, khususnya projek infrastruktur minyak dan gas (O&G) berikutan kebimbangan terhadap isu bekalan.
"Kami berpandangan kumpulan ini dalam kedudukan kukuh berbanding beberapa tahun lalu, dengan projek berkaitan peralihan tenaga menjana 57% daripada buku tempahan bagi suku pertama FY26," katanya.
Sehubungan itu, ia percaya penyusutan harga saham Wasco baru-baru ini mengambil kira sebahagian besar risiko jangka pendek, dengan menawarkan prospek pertumbuhan lebih baik. - DagangNews.com








