KUALA LUMPUR 12 Feb - Sapura Secured Technologies bakal meneroka peluang baharu dalam aspek pembangunan berkaitan teknologi persenjataan moden negara melalui kerjasama dengan sebuah firma pertahanan terbesar Türkiye.
Menerusi kolaborasi dengan Askeri Elektronik Sanayi (Aselsan) yang berpengalaman lebih 50 tahun, syarikat tempatan itu bakal mempertingkatkan infrastruktur teknologi ketenteraan Malaysia setanding dengan negara-negara maju.
Dalam satu kenyataan, anggota Kumpulan Sapura itu berkata, usaha kolaborasi tersebut bakal memperkukuhkan lagi aspek keselamatan negara ini terutamanya bidang teknologi komunikasi serta fasiliti Perintah dan Kawalan (C2).
"Usaha ini datang pada masa genting kerana kedua-dua negara berusaha keras mempelbagaikan dan memodenkan keupayaan pasukan ketenteraan mereka sambil memupuk inovasi dalam teknologi pertahanan semasa," katanya.
Aselsan ditubuhkan pada 1975 lalu yang berpusat di ibu kota Ankara, aktif dalam penyelidikan dan pembangunan senjata serta antara kontraktor utama produk ketenteraan termaju untuk pasukan udara, darat dan laut di Türkiye.
Kompleks kilangnya yang siap dibina pada 2015 bernilai AS$157 juta (kira-kira RM702 juta) dengan keluasan 35 hektar itu mempunyai seramai 776 jurutera, 261 pegawai teknikal dan lebih 200 petugas sokongan berkemahiran.
Menjelaskan lanjut, Sapura berkata, kerjasama dengan Aselsan memperkuatkan 'kedaulatan' teknologi Malaysia dalam bidang amat diperlukan termasuklah teknologi Radio Berdefinisi Perisian, Kepintaran Buatan, dan keselamatan siber.
"Program pembangunan keupayaan jangka panjang ini menumpukan kepada isu pemindahan teknologi ketenteraan canggih, yang juga adalah komponen utama dalam pengukuhan sektor pertahanan Malaysia," tambah kenyataan itu.
Sapura menambah bahawa Malaysia dan Turkiye mengiktiraf kepentingan pengukuhan industri pertahanan masing-masing untuk kekal berdaya saing dalam landskap keselamatan global semakin kompleks serta pantas berkembang.
Perkongsian tersebut ujarnya lagi, menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam sektor pertahanan, dengan dua negara terkenal memiliki sejarah yang kaya dengan kepakaran ketenteraan dan kemajuan teknologi persenjataan.
Malah Sapura optimis dengan memanfaatkan kepakaran Turkiye dalam pertahanan dan kedudukan kepentingan geopolitik strategik Malaysia di Asia Tenggara, kerjasama itu bakal memacu kemajuan yang bermakna dalam industri.
Memorandum Perjanjian Kerjasama Strategik itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin, dan Ketua Pegawai Eksekutif Aselsan, Ahmet Akyol di Putrajaya semalam.
Pemeteraian bersejarah itu berlangsung dengan disaksikan sendiri oleh Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana. - DagangNews.com








