Saham Oriental Kopi dibuka 70% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Oriental Kopi dibuka 70% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - Saham Oriental Kopi Holdings Bhd 70% lebih tinggi daripada tawaran awam permulaan (IPO) pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.

 

Saham syarikat berpangkalan di Johor itu dibuka pada 75 sen berbanding IPO sebanyak 44 sen sesaham.

 

Saham itu naik ke paras tertinggi 80.5 sen sebelum susut kepada 80 sen pada 9.05 pagi, dengan lebih 181.58 juta saham diniagakan. Pada 75 sen, Oriental Kopi bernilai RM1.6 bilion.

 

Pada harga IPO 44 sen, syarikat itu dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 20 kali, berdasarkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM43.13 juta, hasil sebanyak RM277.28 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24).

 

Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, dana yang dikumpul itu akan memberikan pihaknya sumber yang amat diperlukan bagi meningkatkan kecekapan operas, menjadikan ibu pejabat, dapur pusat dan gudang di bawah satu bumbung.

 

Katanya, daripada hasil yang diperoleh, RM75.78 juta diperuntukkan untuk modal kerja, dengan RM53.68 juta untuk penubuhan ibu pejabat baharu, dapur pusat dan gudang. 

 

Sementara itu, RM36.4 juta telah diperuntukkan untuk menyokong pengembangan rangkaian kafe syarikat di Malaysia.

 

"Langkah strategik ini akan menyelaraskan operasi kami dan membuka jalan untuk pertumbuhan yang lebih besar," katanya.

 

Baki dana telah ditetapkan untuk aktiviti pemasaran di pasaran asing, mengembangkan segmen makanan berbungkus syarikat dan menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Ditubuhkan pada Disember 2020, Oriental Kopi kini mengendalikan 20 kafe di seluruh Malaysia dan satu di Singapura. Syarikat itu juga menawarkan kopi dan teh yang dibungkus dalam kedai, serta barangan makanan lain seperti sajian, pastri, mi segera dan hidangan istimewa bermusim seperti kuih bulan.

 

"Melihat ke hadapan, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menangkap potensi pertumbuhan yang ditunjukkan oleh pengembangan ekonomi, peningkatan perbelanjaan isi rumah dan peningkatan pelancongan," kata Jian Chern. 

 

Alliance Islamic Bank meupakan penasihat utama IPO, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan. - DagangNews.com