RM236.6 juta naik taraf dan bina jalan baharu di Johor: Kementerian Kerja Raya serah dua LOA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM236.6 juta naik taraf dan bina jalan baharu di Johor: Kementerian Kerja Raya serah dua LOA

Sebahagian Lebuh raya Pasir Gudang - Gambar MMSB Consult
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 11 Dis - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganugerahkan dua letter of acceptance (LOA) bagi dua projek jalan berimpak tinggi bernilai RM236.64 juta, menurut satu kenyataan pada Khamis.

 

LOA berkenaan diserahkan kepada dua syarikat kontraktor, masing-masing bagi satu projek di bawah KKR dan satu lagi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

 

Projek pertama ialah Projek Menaik Taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) dari Persimpangan Bertingkat Perling ke Persimpangan Lebuhraya Utara-Selatan, Pasir Gudang, Johor.

 

Projek bernilai RM174.53 juta ini melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 7.0km bagi meningkatkan kapasiti daripada empat lorong kepada enam lorong dua hala di koridor industri utama yang menghubungkan kawasan Tebrau, Taman Kobena dan Pelabuhan Pasir Gudang.

 

Projek berkenaan bermula pada 3 Dis 2025 dan dijangka siap pada Disember 2028.

 

Projek kedua, bernilai RM62.11 juta, ialah Projek Pembinaan Baharu dari Jalan Kampung Gembut ke Kampung Teluk Baharu, Sedili Besar, Kota Tinggi.

 

Projek ini akan bermula pada 17 Dis 2025 dan dijadualkan siap pada Disember 2028.

 

Sehingga 1 Dis 2025, sebanyak 54 projek jalan di seluruh negara telah dikeluarkan LOA dengan nilai keseluruhan RM2.96 bilion.

 

Daripada jumlah itu, 18 projek adalah di bawah KKR membabitkan kos RM1.77 bilion, manakala 36 projek di bawah KKDW membabitkan kos RM1.19 bilion. - DagangNews.com