KUALA LUMPUR 28 April – Cropmate Bhd mengesahkan kira-kira RM12.21 juta dalam akaun banknya termasuk anak syarikat utama telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan yang sedang dijalankan.
Dalam makluman tambahan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar baja itu berkata, pihaknya telah melantik Datuk Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama bersama firma Mustafa, Ling & Co bagi menguruskan perkara tersebut.
Menurut kenyataan itu, pasukan peguam telah mengemukakan surat representasi kepada SPRM bagi memohon pembekuan akaun Cropmate dan anak syarikatnya, Cropmate Fertilizer Sdn Bhd ditarik balik.

“Kumpulan akan terus memantau perkembangan ini dan akan membuat pengumuman sewajarnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan material,” katanya.
Cropmate berkata pihaknya dimaklumkan pada 24 April 2026 beberapa akaun bank telah dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Artikel Berkaitan: SPRM beku akaun Cropmate dan anak syarikat berkait siasatan dakwaan penggubahan wang haram
Bagaimanapun, sehingga kini pihaknya belum dimaklumkan secara terperinci mengenai butiran penuh atau keadaan yang membawa kepada siasatan tersebut.
Dalam kenyataan awalnya, Cropmate menegaskan operasi perniagaannya kekal berjalan seperti biasa kerana mempunyai kemudahan perbankan alternatif bagi menyokong aktiviti harian.
Menurutnya, tindakan pembekuan akaun tersebut adalah sebahagian daripada prosedur standard dalam siasatan seumpama ini. - DagangNews.com








