KUALA LUMPUR 27 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan beberapa akaun bank milik pengeluar baja khusus, Cropmate Bhd serta anak-anak syarikatnya.
Dalam kenyataan hari ini syarikat itu berkata ia telah dimaklumkan mengenai pembekuan berkenaan pada 24 April 2026, yang dilaksanakan berkaitan siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Menurut Cropmate, syarikat sedar pengeluaran perintah sedemikian merupakan satu prosedur standard dalam perjalanan siasatan seperti ini.
“Berdasarkan maklumat semasa, lembaga pengarah tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa perkara ini berpunca daripada salah laku pihak pengurusan atau kakitangan kumpulan,” katanya.
Syarikat turut memaklumkan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu siasatan, selain mengambil langkah sewajarnya untuk mendapatkan pelepasan akaun terlibat di bawah Seksyen 44A AMLATFA.
Dalam masa sama, Cropmate menegaskan ia masih mempunyai akses kepada kemudahan perbankan alternatif bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan.
“Lembaga tidak menjangkakan sebarang kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi syarikat. Aktiviti harian berjalan seperti biasa,” jelasnya.
Mengulas lanjut, lembaga pengarah berkata syarikat kekal komited untuk mematuhi semua undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa dan akan terus memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berlangsung.
“Kami akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material,” katanya. - DagangNews.com








