KUALA LUMPUR 12 Nov – Isu kelembapan pasaran hartanah dikhuatiri menjadi risiko utama terhadap pertumbuhan Kerjaya Prospek Group Berhad dalam tempoh jangka panjang, menurut RHB Research.
Bagaimanapun firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM3.15, yang menawarkan potensi kenaikan sebanyak 21% serta hasil dividen sekitar 5% bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Ia menegaskan isu kelemahan berpanjangan dalam permintaan hartanah boleh memberi kesan kepada prospek projek baharu itu memandangkan model sebahagian besar portfolio kumpulan tersebut sendiri.
"Kerjaya Prospek masih berpaksikan kepada pembinaan kediaman dan pembangunan bercampur, tetapi momentum kontrak baharu syarikat masih kekal kukuh," jelas RHB Research dalam notanya hari ini.
Situasi itu memperlihatkan keupayaan kumpulan mengekalkan kedudukan kompetitif dalam industri pembinaan, setelah meraih dua kontrak baharu bernilai RM197.7 juta, dan mengukuh aliran kerja.
Kedua-dua projek berkenaan kata firma itu, dijangka bermula pada bulan ini dengan tempoh pelaksanaan masing-masing selama 34 dan 33 bulan, serta margin keuntungan selepas cukai (PAT) sekitar 10%.
Dengan kemenangan ini, nilai kerja baharu Kerjaya Prospek bagi FY25 kini mencecah RM1.16 bilion, melibatkan sembilan projek dan hampir mencapai sasaran tahunan RHB Research sebanyak RM1.6 bilion.
"Secara keseluruhan, buku tempahan semasa kini berjumlah RM3.7 bilion, bersamaan 2.1 kali nilai perolehan tahunan, sekali gus memberikan aliran pendapatan stabil untuk tahun berikut," katanya.
Artikel berkaitan: Kerjaya Prospek raih dua kontrak bernilai RM197.7 juta, buku tempahan naik kepada RM3.7 bilion
Firma tersebut turut menilai Kerjaya Prospek berpotensi mendapat manfaat daripada perancangan Eastern & Oriental Berhad (E&O) yang akan melancarkan projek hartanah bernilai RM3.8 bilion.
Langkah berkenaan jelas RHB Research, dijangka antara 2026 hingga 2030, dengan nilai pembinaan dianggarkan sekitar RM1.5 bilion yang mampu memberikan pertumbuhan positif kepada imej kumpulan.
Selain itu, sebarang kemenangan dalam sektor industri termasuk pusat data (DC), kilang, dan gudang melalui usaha sama dengan Samsung C&T (SCT) dilihat sebagai pemangkin penilaian semula saham.
"Setakat ini, projek besar terakhir diraih Kerjaya Prospek bersama SCT ialah pembinaan loji Texas Instruments di Melaka yang bernilai RM1.5 bilion pada 2022," kata firma penyelidikan tersebut.
Sehubungan itu tambah RHB Research, tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan syarikat kerana kontrak baharu ini masih dalam jangkaan sasaran kerja baharu FY25 sebanyak RM1.6 bilion.
Ia mengekalkan harga sasaran saham, termasuk premium sebanyak 2%, dengan menyatakan penilaian semasa kumpulan itu masih menarik berbanding purata ketika kemuncak kitaran pembinaan 2017.
Sebaliknya, tekanan kos pembinaan yang berpanjangan berisiko boleh menjejaskan momentum pertumbuhan Kerjaya Prospek jika sentimen pasaran tidak pulih dalam masa terdekat. - DagangNews.com








