KUALA LUMPUR 11 Nov – Kerjaya Prospek Group Berhad mengumumkan dua anak syarikat milik penuhnya, Permatang Bakti Sdn Bhd (PBSB) dan Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM), telah menerima dua surat anugerah baharu bernilai keseluruhan RM197.7 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam sektor pembinaan.
Kerjaya Prospek dalam kenyataan hari ini berkata, kontrak pertama bernilai RM100.2 juta dianugerahkan kepada PBSB oleh Serta Usaha Sdn Bhd bagi pembangunan projek servis apartmen Viera 15 di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Projek 39 tingkat itu merangkumi 479 unit kediaman serta enam aras tempat letak kereta podium.
Menurut Kerjaya Prospek, kerja-kerja pembinaan akan bermula 17 November 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 34 bulan dari tarikh mula.
Sementara itu, KPM memperoleh kontrak kedua bernilai RM97.5 juta daripada Tanjung Pinang Development Sdn Bhd untuk membina lima jambatan terusan sepanjang 80 meter setiap satu bagi menghubungkan Fasa 2A, 2B dan 2C di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Projek tersebut akan bermula pada 24 November 2025 dan dijangka siap dalam 33 bulan.
Kedua-dua kontrak tersebut dimuktamadkan pada asas urus niaga berjarak dan terma komersial biasa.
Serta Usaha Sdn Bhd ialah anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Property Berhad, manakala TPD merupakan subsidiari tidak langsung Eastern & Oriental Berhad, di mana beberapa pengarah dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek mempunyai kepentingan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, pencapaian itu mengukuhkan keupayaan syarikat dalam membangunkan projek besar di kawasan pertumbuhan tinggi.
“Kami berbesar hati memperoleh dua projek baharu di Shah Alam dan Pulau Andaman. Kedua-dua lokasi ini berkembang pesat dan dijangka muncul sebagai hab pembangunan bandar utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dengan kontrak terkini, kumpulan kini telah mengumpul sembilan kontrak setakat tahun ini, dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.16 bilion.
“Ini menjadikan jumlah buku pesanan belum siap kami meningkat kepada RM3.7 bilion. Kami komited meneruskan prestasi kukuh serta memberikan nilai terbaik kepada pembangunan yang kami sertai,” katanya. - DagangNews.com








