KUALA LUMPUR 30 April – Kejayaan Gamuda Berhad meraih kontrak bekalan air Ulu Padas, Sabah yang bernilai RM5.98 bilion mengukuhkan kedudukan dengan buku tempahan hampir mencecah RM50 bilion.
Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran terhadap risiko aliran tunai yang tertangguh serta tekanan kos projek semakin mahal dikhuatiri boleh menjejaskan momentum pendapatan masa hadapan.
Antaranya, MBSB Research yang mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.60 sesaham, dan menyifatkan kumpulan itu sebagai pilihan utama sektor pembinaan disokong buku tempahan besar.
"Kontrak Fasa 1 skim di Sabah itu dijangka menyumbang kira-kira RM3.8 bilion kepada buku tempahan Gamuda melalui usaha sama (JV) yang dimiliki 75% dengan tempoh pembinaan 42 bulan," tambahnya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan projek berkenaan mula menyumbang kepada pendapatan bermula FY27, dengan margin keuntungan sebelum cukai dianggarkan sekitar 8% hingga 10%.
Ia namun memberi perhatian kepada struktur pembayaran projek itu dengan RM759 juta dibayar secara berperingkat manakala bakinya selepas siap, yang berpotensi memberi tekanan kepada aliran tunai.
Pada masa sama, Gamuda dilihat berada di landasan tepat mencapai sasaran buku tempahan RM55 bilion bagi tahun 2026, dengan 28% daripada sasaran kontrak baharu RM20 bilion sudah dicapai setakat ini.
Artikel berkaitan: JV Gamuda raih kontrak RM5.98 bilion bina Fasa 1 Skim Bekalan Air Ulu Padas di Sabah

"Justeru, kami masih optimis terhadap peluang kontrak baharu di dalam dan luar negara termasuk projek infrastruktur, pusat data (DC) dan tenaga boleh diperbaharui (RE)," kata MBSB Research.
Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) turut mengekalkan saranan 'outperform' dengan TP RM5.60, sambil menyatakan kemenangan kontrak baharu tersebut adalah sejajar jangkaan mereka.
Menurutnya, kontrak diraih syarikat sekutunya itu meningkatkan buku tempahan Gamuda sebanyak 8.4% kepada RM49.3 bilion, dan jumlah tender baharu terkumpul setakat tahun ini mencecah RM5.5 bilion.
Projek ini ujar firma itu, dijangka menyumbang 4.9% kepada keuntungan bersih tahunan sepanjang tempoh 3.5 tahun, berdasarkan andaian margin sebelum cukai 8% dan kadar cukai korporat 24%.
"Kami namun tidak membuat perubahan terhadap unjuran hasil kerana kontrak itu diambil kira dalam sasaran pengisian semula buku tempahan RM20 bilion bagi tahun kewangan 2026," kata PublicInvest.
Secara keseluruhan, ia kekal positif terhadap prospek Gamuda, tetapi menekankan risiko utama kini beralih kepada kelewatan pelaksanaan projek mega tertentu serta pengiktirafan pendapatan. - DagangNews.com








