JV Gamuda raih kontrak RM5.98 bilion bina Fasa 1 Skim Bekalan Air Ulu Padas di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JV Gamuda raih kontrak RM5.98 bilion bina Fasa 1 Skim Bekalan Air Ulu Padas di Sabah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 April – Gamuda Bhd mengumumkan syarikat bersekutunya, Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB) telah menerima Surat Setuju Terima (LoA) daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi pelaksanaan projek Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) Fasa 1 bernilai RM5.98 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata projek tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan bekalan air menyeluruh bagi pantai barat Sabah dengan kapasiti reka bentuk muktamad sebanyak 950 juta liter sehari (MLD).

 

 

 

 

 

 

 

"Fasa 1 projek itu melibatkan pembinaan sebuah loji rawatan air berkapasiti 350 MLD di daerah Beaufort, selain pemasangan rangkaian paip air sepanjang kira-kira 200 kilometer yang merangkumi kawasan dari Sipitang hingga Kota Kinabalu,” katanya.

 

UPPSB merupakan anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd, di mana Gamuda memiliki pegangan ekuiti langsung sebanyak 45%, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (40%) dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd (15%).

 

Menurut Gamuda, skop kerja merangkumi pelaksanaan menyeluruh termasuk reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan serta pentauliahan kemudahan utama seperti struktur pengambilan air, saluran paip, kolam imbangan dan loji rawatan air.

 

Kerja pembinaan dijangka bermula pada Mei 2026 dengan tempoh siap dalam masa 42 bulan dari tarikh penyerahan tapak.

 

Struktur pembayaran kontrak akan dilaksanakan melalui tiga bayaran interim berjumlah RM759 juta, manakala baki RM5.221 bilion akan dibayar selepas projek siap sepenuhnya.

 

Dari segi risiko, projek ini berdepan cabaran lazim dalam sektor kejuruteraan awam termasuk perubahan peraturan, risiko teknikal, impak alam sekitar, gangguan rantaian bekalan serta faktor cuaca.

 

Bagaimanapun, Gamuda berkata langkah mitigasi telah disediakan termasuk peruntukan kontingensi pembinaan serta kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan Gamuda bermula tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 sehingga projek siap,” katanya. 

 

Kerja-kerja pembinaan bagi SBAUP dijangka akan dianugerahkan kepada kontraktor turnkey dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com