RHB Research unjur PETRONAS Chemicals rugi RM709 juta pada FY26, saham berisiko susut 23% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research unjur PETRONAS Chemicals rugi RM709 juta pada FY26, saham berisiko susut 23%

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 FebRHB Research mengunjurkan PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mengalami kerugian bersih yang mencecah RM709 juta pada FY26, selepas rugi RM2.1 bilion bagi FY25. 


Menurut firma penyelidikan tersebut, keadaan berkenaan sekali gus mencetuskan kebimbangan harga sahamnya berpotensi merosot sehingga 23% dan menetapkan harga sasaran (TP) baharu iaitu RM2.54.


Selain itu, ia mengekalkan saranan ‘jual’, susulan keputusan FY25 yang mencatatkan kerugian bersih teras RM534 juta, lebih buruk daripada jangkaan keuntungan RM49 juta oleh firma tersebut sendiri.


"Kelemahan prestasi ini didorong pasaran terus tertekan, khususnya segmen olefin dan derivatif (O&D) disebabkan isu lebihan bekalan global dan permintaan hiliran lemah," kata RHB Research.


Bagi segmen O&D, hasil merosot 12% suku ke suku (QoQ) kepada RM2.8 bilion apabila jumlah jualan menyusut 8.3% QoQ kepada 887,000 tan metrik manakala harga purata produk turun 6.6% QoQ.


Walaupun kadar penggunaan loji meningkat kepada 91.5%, kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) melebar kepada RM600 juta berbanding RM110 juta pada tahun sebelumnya.


Keadaan ini jelas RHB Research dipengaruhi kerugian pertukaran asing belum direalisasi dan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi, manakala segmen baja dan metanol menunjukkan prestasi baik.


Artikel berkaitan: PETRONAS Chemicals rugi RM2.1 bilion bagi FY25 akibat kemerosotan nilai aset


"Hasil meningkat 15.9% QoQ kepada RM2.6 bilion, disokong pertambahan jumlah jualan 14.4% kepada 1.76 juta tan metrik, sekali gus meningkatkan EBITDA sebanyak 26.5% kepada RM730 juta," katanya.


Bagaimanapun tambah firma itu, segmen kepakaran terus tertekan apabila hasil susut 10.7% QoQ kepada RM1.2 bilion akibat pengurangan jumlah jualan kira-kira 6.1%, selain margin yang terus menyempit.


Mengulas prospek, RHB Research menjangkakan petrokimia kekal lemah dalam tempoh terdekat meskipun ada potensi pemulihan berikutan langkah disiplin kapasiti dan pengetatan peraturan terutama di China.


Selain itu, pengukuhan ringgit berpotensi memberi kesan negatif tambahan kepada pendapatan PCG sendiri kerana harga produk di luar negara dijual dalam denominasi mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).


"Justeru kami menyemak turun unjuran FY27 sebanyak 28% kepada RM456 juta, dengan TP berasaskan penilaian 0.6 kali harga kepada nilai buku (P/BV) FY26, di bawah purata lima tahun," tambahnya.


RHB Research turut memberi amaran risiko penuruan termasuk segmen petrokimia yang lebih lemah daripada jangkaan dan kitaran penyusutan harga minyak mentah yang berpanjangan. - DagangNews.com