UCSI buka kampus kelima di Gamuda Gardens, Rawang mampu tampung 2,000 pelajar mulai 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UCSI buka kampus kelima di Gamuda Gardens, Rawang mampu tampung 2,000 pelajar mulai 2027

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun – Universiti UCSI  memperluaskan empayar pendidikannya menerusi pembangunan kampus satelit baharu di Gamuda Gardens, Rawang hasil kerjasama strategik dengan Gamuda Land yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

 

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak bagi membangunkan kampus kelima UCSI yang mampu menempatkan kira-kira 2,000 pelajar.

 

Kampus baharu itu akan dibangunkan dengan keluasan awal sekitar 66,000 kaki persegi lengkap dengan 45 bilik kuliah, dewan serbaguna, gelanggang bola keranjang tertutup serta pelbagai fasiliti pembelajaran dan rekreasi moden.

 

Pada peringkat awal, kampus berkenaan akan menawarkan program ijazah sarjana muda dalam bidang perniagaan dan pengurusan, seni kreatif, sains komputer serta teknologi kenderaan elektrik (EV) dan mobiliti autonomi.

 

Selain program ijazah, UCSI turut merancang menawarkan program diploma dan asasi sebelum memperluaskan lagi penawaran akademik secara berperingkat selaras dengan perkembangan kampus tersebut.

 

Presiden dan Naib Canselor UCSI, Profesor Emeritus Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pembukaan kampus baharu itu akan memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti bagi masyarakat di Rawang dan kawasan utara Lembah Klang.

 

“UCSI dan Gamuda Land berkongsi aspirasi sama untuk memperkukuh pembangunan komuniti melalui pendidikan berkualiti yang mudah diakses serta berorientasikan keperluan masa depan.

 

“Kami berharap kampus ini dapat memberi impak positif terhadap pembangunan modal insan selain membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

t

 

Beliau berkata, pengumuman kampus baharu tersebut dibuat bersempena sambutan ulang tahun ke-40 UCSI tahun ini yang menyaksikan universiti itu terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara institusi pengajian tinggi swasta utama negara.

 

Kampus di Gamuda Gardens akan melengkapkan rangkaian kampus UCSI sedia ada di Kuala Lumpur, Kuching, Springhill dan Bangladesh sekali gus memperluaskan lagi jejak serantaunya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Gim Teck Yew berkata, kehadiran UCSI akan mengukuhkan pembangunan Gamuda Gardens sebagai bandar mampan dan lengkap dengan ekosistem pendidikan, komersial serta komuniti.

 

Menurut beliau, pendidikan sentiasa menjadi elemen penting dalam perancangan pembangunan Gamuda Land selain perumahan, taman rekreasi dan komponen komersial bagi memastikan pertumbuhan komuniti dan aktiviti ekonomi jangka panjang.

 

Gamuda Land merupakan cabang pembangunan hartanah Gamuda Berhad dan terkenal menerusi pembangunan bersepadu seperti Kota Kemuning, Bandar Botanic dan Jade Hills selain projek di Vietnam dan Australia.

 

Dalam QS World University Rankings 2026, UCSI berada di kedudukan ke-269 dunia serta disenaraikan dalam kelompok satu peratus universiti terbaik dunia, selain berada dalam 30 universiti terbaik Asia dan tangga kelapan terbaik di Asia Tenggara. Universiti itu kini mempunyai lebih 15,000 pelajar dari lebih 120 negara. - DagangNews.com