Harga minyak mentah global dijangka susut kepada AS$70 setong mulai September jika Selat Hormuz dibuka semula, kata Fitch Rating | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak mentah global dijangka susut kepada AS$70 setong mulai September jika Selat Hormuz dibuka semula, kata Fitch Rating

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Jun - Harga minyak mentah Brent dijangka mengalami penurunan ketara daripada paras tinggi semasa dan boleh mencecah sekitar AS$70 setong mulai September 2026 sekiranya Selat Hormuz dibuka semula seperti yang dijangkakan, menurut Fitch Ratings.

 

Agensi penarafan antarabangsa itu berkata, unjuran asasnya meletakkan harga purata minyak mentah global pada AS$87 setong bagi tahun 2026 berdasarkan andaian laluan perkapalan strategik itu akan kembali beroperasi sekitar penghujung Julai selepas ditutup selama kira-kira lima bulan.

 

Menurut Fitch Ratings, lonjakan harga minyak yang berlaku ketika ini lebih berpunca daripada gangguan sementara terhadap rantaian bekalan dan logistik berbanding kehilangan kapasiti pengeluaran minyak secara kekal.

 

“Dengan andaian Selat Hormuz dibuka semula sekitar penghujung Julai, kami menjangkakan harga minyak mentah global akan turun dengan ketara daripada paras tinggi yang dicatatkan antara Mac hingga Julai,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Agensi itu menjangkakan pasaran minyak global akan kembali mengalami lebihan bekalan bermula September 2026, disokong oleh pemulihan pengeluaran minyak di Timur Tengah, kerosakan yang minimum terhadap infrastruktur tenaga serantau serta peningkatan bekalan daripada negara pengeluar bukan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

 

Selain itu, peningkatan pengeluaran oleh negara anggota OPEC sehingga mencapai kapasiti maksimum turut dijangka menambah bekalan dalam pasaran.

 

Fitch Ratings menganggarkan harga minyak Brent akan berada dalam lingkungan AS$100 hingga AS$110 setong sepanjang tempoh Mei hingga Julai sebelum susut kepada AS$80 setong pada Ogos dan sekitar AS$70 setong bermula September.

 

“Risikonya bersifat dua keadaan, namun kami melihat kecenderungannya lebih kepada penurunan harga. Harga minyak akan menjadi lebih rendah sekiranya Selat Hormuz dibuka semula lebih awal daripada jangkaan,” katanya.

 

Ketidaktentuan Masih Tinggi

Walau bagaimanapun, Fitch Ratings mengakui ketidaktentuan masih tinggi berhubung tempoh sebenar pembukaan semula Selat Hormuz, sekali gus menyebabkan harga minyak global terus bergerak dalam keadaan tidak menentu.

 

Agensi itu berkata, jangkaan pembukaan semula laluan perkapalan tersebut pada penghujung Julai dibuat berdasarkan beberapa faktor utama termasuk musim puncak perjalanan musim panas di Amerika Syarikat, pengumuman data ekonomi penting negara itu bagi suku kedua seperti keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan inflasi, serta persediaan menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November 2026.

 

Selain itu, China juga dilihat berdepan tekanan untuk memastikan keselamatan bekalan tenaga apabila rizab minyak negara itu berpotensi berkurangan kepada paras yang hanya mampu menampung keperluan selama kira-kira tiga bulan lagi sekiranya penggunaan stok simpanan diteruskan.

 

Perkembangan itu dijangka terus menjadi tumpuan pasaran minyak global memandangkan Selat Hormuz merupakan laluan utama bagi penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.

 

Sebarang perubahan terhadap status operasi laluan strategik tersebut berpotensi memberi impak langsung kepada harga tenaga global, inflasi serta pertumbuhan ekonomi di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com