RHB Research turunkan unjuran hasil CTOS pada FY26 susulan pelupusan ekuiti dalam Experian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research turunkan unjuran hasil CTOS pada FY26 susulan pelupusan ekuiti dalam Experian

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 DisRHB Research menurunkan unjuran pendapatan CTOS Digital Berhad bagi FY26 susulan pelupusan pegangan 26% dalam Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd (EIS).


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan langkah kumpulan tersebut tidak mengubah pelaburan jangka sederhana, sekali gus mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.11.


Ia menyatakan pelupusan bernilai RM80 juta secara tunai kepada Experian (Malaysia) Sdn Bhd, serta menyebabkan pelarasan negatif sekitar 2% ke atas unjuran pendapatan FY26, dan 1% bagi FY27.


"Impaknya mamun adalah terhad dan bersifat teknikal, kerana EIS merupakan pelaburan bukan teras kepada CTOS, dan TP diselaraskan turun daripada RM1.16 sesaham," kata RHB Research dalam notanya.


Sehubungan perkembangan itu, firma berkenaan menilai saham kumpulan tersebut sebenarnya masih lagi berupaya menawarkan potensi kenaikan sebanyak 45% dan hasil dividen pada FY26 kira-kira 4%.


Pelupusan tersebut dijangka mempengaruhi pendapatan kumpulan itu berdasarkan keuntungan bersih EIS pada FY25 setakat 31 Mac 2025 sebanyak RM15.4 juta, dan disifatkan wajar dalam penilaian semasa.


Jelas RHB Research, CTOS memperoleh ekuiti itu pada Julai 2019 dengan kos RM56.2 juta, dijangka merekodkan keuntungan sekali sebanyak RM18 juta, kira-kira 20% sahaja daripada pendapatan FY25.



Artikel berkaitan: CTOS Digital jual 26% pegangan dalam Experian Information Services berharga RM80 juta



"Hasil tunai akan digunakan bagi mengurangkan hutang (RM49 juta), menampung keperluan modal kerja (RM29.4 juta) dan menyelesaikan baki cukai keuntungan modal," tambah firma penyelidikan tersebut.


Perolehan daripada pelupusan pegangan dalam EIS itu sekali gus menjana penjimatan kos faedah, dan selepas transaksi, kadar gear bersih atau hutang CTOS dijangka bertambah baik kepada sekitar 20%.


RHB Research menjangkakan prestasi 4Q yang lebih kukuh, disokong oleh faktor pelancaran produk baharu dalam segmen komersial dan akaun utama, impak jelas daripada inisiatif pengoptimuman kos.


Selain itu sumbangan pendapatan rakan sekutu yang meningkat daripada RAM Holdings Berhad dan Juris Technologies, dijangka menjadikan pertumbuhan pendapatan pada FY26 kembali pulih dengan lonjakan.


"Perkembangan positif tersebut turut dipacu oleh usaha perluasan rangkaian produk, penembusan para pelanggan yang lebih mendalam dan kecekapan operasi yang berterusan," jelas firma berkenaan lagi.


Selepas dimasukkan kesan pelupusan dan kemas kini penilaian rakan sekutu, RHB Research mengekalkan pandangan yang lebih baik terhadap CTOS, namun memberi amaran berhubung pelbagai risiko penurunan.


Antaranya kata firma itu, termasuk perubahan persekitaran kawal selia, pertumbuhan hasil lebih perlahan daripada jangkaan, litigasi serta risiko keselamatan data. - DagangNews.com