CTOS Digital jual 26% pegangan dalam Experian Information Services berharga RM80 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS Digital jual 26% pegangan dalam Experian Information Services berharga RM80 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis – CTOS Digital Berhad mengumumkan pelupusan 26% peratus pegangan ekuiti dalam Experian Information Services (Malaysia) Sdn. Bhd (EIS) melalui anak syarikat miliknya, Enfo Sdn. Bhd dan CTOS Insights Sdn Bhd kepada Experian (Malaysia) Sdn Bhd pada harga tunai berjumlah RM80 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CTOS berkata transaksi ini melibatkan penjualan keseluruhan 2.6 juta saham yang dimiliki kedua-dua anak syarikat berkenaan. 

 

“Selepas pelupusan selesai pada 18 Disember 2025, EIS tidak lagi dikategorikan sebagai syarikat sekutu CTOS Digital,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Berdasarkan akaun diaudit EIS bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM15.39 juta dengan aset bersih RM25.48 juta.

 

CTOS Digital sebelum ini memperoleh pegangan 26 peratus dalam EIS pada Julai 2019 dengan kos RM56.2 juta.

 

CTOS Digital menjelaskan pertimbangan jualan ditentukan berdasarkan asas “willing buyer, willing seller”, bersamaan 13.7x EV/EBITDA dan 20.0x P/E berbanding akaun diaudit EIS. 

 

Pelupusan ini dijangka memberi keuntungan sekali bayar kira-kira RM18 juta kepada kumpulan dan meningkatkan pendapatan per saham (EPS) kira-kira 30 peratus berdasarkan keputusan kewangan 9 bulan berakhir 30 September 2025.

 

Hasil daripada pelupusan ini akan digunakan terutamanya untuk membayar hutang sedia ada, keperluan modal kerja dan tujuan korporat am, dengan bayaran balik pinjaman RM49 juta, cukai keuntungan modal RM1.6 juta dan RM29.4 juta untuk keperluan modal kerja dan lain-lain dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Pihak pengurusan menegaskan pelupusan ini sejajar dengan strategi syarikat untuk mengoptimumkan portfolio pelaburan, menumpukan modal kepada perniagaan teras dan inisiatif pertumbuhan strategik serta memperkukuh sumber kewangan bagi peluang pengembangan masa depan.

 

CTOS Digital juga menekankan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam pelupusan ini.

 

Pelupusan ini tidak memerlukan kelulusan tambahan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa lain dan dijangka mengurangkan peratusan penggayaan (gearing) kumpulan daripada 27 peratus kepada sekitar 20 peratus. - DagangNews.com