KUALA LUMPUR 9 Julai - RHB Research menyemak turun penarafan sektor perladangan kepada "neutral" susulan pengumuman tarif baharu Amerika Syarikat (AS), peningkatan risiko geopolitik dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tidak stabil.
Katanya, situasi itu memberi kesan kepada aliran perdagangan global dan pasaran komoditi dalam bulan-bulan akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, perubahan itu berlaku selepas harga MSM susut daripada antara RM4,600-RM4,800 satu tan pada suku pertama 2025 kepada serendah RM3,780 pada Mei sebelum berada sekitar RM3,900-RM4,100 bagi setiap tan.
Penurunan itu didorong ketidaktentuan global termasuk ketegangan perdagangan yang semakin memuncak dengan AS, konflik ketenteraan yang berterusan,dan kejatuhan harga minyak mentah yang terus menekan prestasi harga MSM.
“Walaupun tarif 25% ke atas barangan Malaysia AS hanya akan bermula pada 1 Ogos, kesannya terhadap sentimen pelabur dan dinamik perdagangan sudah mula dirasai dalam sektor berkaitan komoditi,” katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, walaupun berdepan tekanan tarif, Malaysia masih menikmati kelebihan harga dalam beberapa subsektor.
Sebagai contoh, dalam industri sarung tangan, tarif 25% ke atas Malaysia adalah lebih rendah berbanding gabungan tarif ke atas China sebanyak 30% dan 50%.
Begitu juga dalam sektor agribisnes, minyak sawit Malaysia dikenakan tarif AS yang lebih rendah (25%) berbanding Indonesia (32%), sekali gus berpotensi memberikan kelebihan harga kepada pengeksport Malaysia di pasaran sensitif harga seperti AS.
"Namun begitu, ketidaktentuan harga dijangka berterusan. Perkaitan antara harga MSM dan harga minyak mentah telah meningkat dengan ketara mencerminkan impak risiko geopolitik.
"Sementara itu, harga minyak kacang soya (SBO) melonjak disebabkan dasar bahan api bio baharu di AS, yang telah meningkatkan sasaran pencampuran dan menyokong permintaan terhadap SBO," katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan keseimbangan antara bekalan dan permintaan global bagi minyak dan lemak akan bertambah baik pada tahun 2026, hasil daripada pemulihan pengeluaran minyak sawit, bunga matahari dan biji sesawi.
Bagaimanapun, nisbah stok kepada penggunaan bagi 17 jenis utama minyak dan lemak diunjurkan pada kadar 12.9%, masih di bawah purata jangka panjang sebanyak 13.6% — menunjukkan ruang yang kecil untuk sebarang kejutan bekalan atau permintaan jangka pendek. - DagangNews.com








