Reka bentuk model baharu letak MISC di hadapan segmen perkapalan hijau global – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reka bentuk model baharu letak MISC di hadapan segmen perkapalan hijau global – MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 SeptMISC Berhad kini selangkah di hadapan dalam revolusi perkapalan hijau global bagi reka bentuk model kapal tangki julat jauh kelas 2 (LR2) yang pertama di dunia, kata MBSB Research.


Menurut firma penyelidikan tersebut, ia susulan kelulusan prinsip (AiP) yang berjaya diterima daripada agensi pensijilan rasmi Bureau Veritas Marine & Offshore (BV) berpusat di Paris, Perancis baru-baru ini.


Kapal tersebut pertama seumpamanya di dunia yang dijana teknologi bahan api ammonia dan sel fuel membran pertukaran proton (PEMFC) yang dibangunkan MISC bersama Samsung Heavy Industries (SHI).


Reka bentuk canggih ini kata MBSB Research, turut menggabungkan sistem penukaran ammonia kepada hidrogen (ACS), yang berupaya menjana tenaga bersih tanpa ada pelepasan karbon secara langsung.


"Ciri inovatif ini menandakan satu lagi peluang pertumbuhan besar kepada MISC dan meletakkan syarikat sebagai perintis dalam pelayaran mampan global,” jelas firma berkenaan dalam nota terbaharunya.


Teknologi terkini itu dilihat menyokong secara langsung inisiatif Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) mencapai agenda sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 untuk kapal komersial berskala besar.
 


Artikel berkaitan: MISC, Samsung Heavy Industries terima kelulusan reka bentuk kapal tangki LR2 pertama dunia berkuasa ammonia

 

LR2
FOTO ihsan portal rasmi MISC Berhad


Penglibatan SHI turut memberi nilai tambah melalui kepakaran teknikal dan rekod prestasi global, sekali gus mengukuhkan kedudukan konsortium ini dalam pembangunan teknologi perkapalan masa depan.


MBSB Research menambah, meskipun impak kewangan kepada MISC susulan projek baharu itu dijangka tidak ketara dalam masa terdekat, potensi jangka panjang daripada teknologi ini adalah besar.


Berdasarkan kepada perkembangan positif tersebut, firma berkenaan mengekalkan unjuran sedia ada serta saranan 'beli' terhadap saham MISC dengan harga sasaran masih lagi sebanyak RM8.13 sesaham.


“Portfolio MISC yang pelbagai dalam rumusan maritim tenaga, komitmen terhadap kelestarian, serta asas kewangan kukuh menyokong prospek pertumbuhan stabil syarikat dalam jangka panjang,” katanya.


LR2 jelasnya, ialah klasifikasi untuk kapal tangki yang direka untuk mengangkut jumlah besar produk petroleum atau bahan kimia dalam perjalanan destinasi jarak jauh dan lebih besar daripada LR1.


Ia tambah MBSB Research, mempunyai kapasiti muatan sekitar 105,000 hingga 125,000 deadweight tonnes (DWT) dan digunakan untuk penghantaran antara pelabuhan antarabangsa. - DagangNews.com