MISC, Samsung Heavy Industries terima kelulusan reka bentuk kapal tangki LR2 pertama dunia berkuasa ammonia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC, Samsung Heavy Industries terima kelulusan reka bentuk kapal tangki LR2 pertama dunia berkuasa ammonia

Gambar The Edge Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Sept – MISC Berhad dan Samsung Heavy Industries (SHI) memperoleh kelulusan secara prinsip (AiP) daripada Bureau Veritas Marine & Offshore (BV) untuk reka bentuk kapal tangki LR2 pertama di dunia yang menggunakan bahan api ammonia dan dikuasakan teknologi ‘Proton Exchange Membrane Fuel Cell (PEMFC).


PEMFC ialah teknologi sel bahan api yang menukar tenaga kimia daripada hidrogen kepada tenaga elektrik dengan menggunakan membran khas yang hanya membenarkan proton melaluinya

 

Reka bentuk itu menggabungkan teknologi PEMFC yang dibangunkan oleh Vinssen dengan Sistem Penguraian Ammonia (ACS) daripada Panasia Co. Ltd yang membolehkan kuasa penuh untuk pendorongan kapal, pengendalian kargo dan keperluan tenaga di atas kapal.

 

Ia adalah satu pencapaian yang sebelum ini terhad kepada kapal kecil atau beban tambahan (auxiliary loads).

 

MISC bertindak sebagai pemilik dan pengendali kapal, mengetuai operasi, kajian kebolehlaksanaan dan strategi penerimaan. 

 

SHI pula bertanggungjawab ke atas reka bentuk kapal dan integrasi sistem, manakala BV memastikan pematuhan, penilaian risiko dan pengesahan teknikal.

 

Antara manfaat utama reka bentuk kapal ini ialah:

• Sifar pelepasan karbon dioksida secara langsung, sejajar dengan matlamat penyahkarbonan global.

• Pematuhan terhadap peraturan alam sekitar ketat serta percukaian karbon masa depan.

• Kos penyelenggaraan lebih rendah dan kecekapan operasi lebih tinggi berbanding enjin tradisional.


• Membuka jalan ke arah penggunaan lebih meluas teknologi sel bahan api berasaskan ammonia dalam industri maritim.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, pihaknya yakin kerjasama itu adalah pemangkin transformasi maritim.

 

“Melalui perkongsian tersebut, Kumpulan dapat menyatukan peneraju industri bagi merealisasikan matlamat masa depan di mana pelbagai teknologi baharu digunakan untuk menangani cabaran terbesar maritim antaranya peralihan tenaga dan penyahkarbonan.

 

“AiP ini adalah hasil daripada gabungan kekuatan kami dan keberanian mencabar sempadan konvensional untuk menterjemah aspirasi kelestarian kepada kemajuan yang sebenar.

 

“Bersama SHI dan BV, kami sedang memacu penyelesaian yang akan menetapkan penanda aras baharu bagi perkapalan lestari dan menginspirasi penerimaan lebih meluas penyelesaian inovatif demi membantu industri maritim mencapai aspirasi sifar bersih,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal SHI, Haeki Jang pula berkata, Kerjasama itu adalah satu penghormatan besar untuk syarikat tersebut.

 

“Kapal tangki LR2 berkuasa ammonia yang dikuasakan oleh sel bahan api ini adalah satu pencapaian ke hadapan hadapan yang memenuhi peraturan, meningkatkan kecekapan operasi serta penerimaan lebih luas.

 

“Inovasi ini membuktikan komitmen teguh Samsung Heavy Industries terhadap pertumbuhan mampan dan teknologi termaju. 

 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada badan klasifikasi dan MISC atas sokongan berharga serta kerjasama rapat mereka,” katanya.

 

Naib Presiden Eksekutif, Industrials and Commodities BV, Matthieu de Tugny pula berkata, kelulusan itu bukan sahaja satu pencapaian teknologi, tetapi juga membuktikan kekuatan kerjasama erat antara semua yang terlibat. 

 

“Bureau Veritas berbangga menyokong MISC dan Samsung Heavy Industries dalam memajukan teknologi sel bahan api berkuasa ammonia PEM.

 

“Ia satu kejayaan yang menggabungkan inovasi, keselamatan dan kelestarian. Kami kekal komited untuk menyokong pembangunan penyelesaian bahan api alternatif yang berdaya maju, boleh dikembangkan dan selamat, yang akan membentuk masa depan perkapalan lestari,” katanya. - DagangNews.com