PublicInvest tetapkan nilai wajar MTT Shipping pada RM1.23, potensi pulangan 19% daripada harga IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest tetapkan nilai wajar MTT Shipping pada RM1.23, potensi pulangan 19% daripada harga IPO

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 April – Public Investment Bank menetapkan nilai wajar MTT Shipping and Logistics Bhd pada RM1.23, menunjukkan potensi kenaikan hampir 19% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pada RM1.03.

 

MTT Shipping and Logistics adalah pengendali kapal kontena yang sedang bersiap untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata penilaian tersebut dibuat berdasarkan unjuran keuntungan syarikat bagi tahun kewangan 2027 dengan mengambil kira kelebihan MTT Shipping sebagai peneraju pasaran serta pemilikan aset kapal yang lebih moden dan efisien.

 

Syarikat itu menguasai 46 peratus pasaran bagi laluan Malaysia Barat ke Malaysia Timur melalui perkhidmatan penyewaan kapal dan simpanan kontena dengan 26 kapal sendiri dan 11 kapal yang disewa.

 

Walaupun pendapatan MTT Shipping menurun daripada RM1.41 bilion pada FY2022 kepada RM1.20 bilion pada FY2024 akibat kadar purata tambang kontena yang jatuh, keuntungan bersih dijangka meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun 6.9 peratus hingga FY2027.

 

PublicInvest menjangkakan keuntungan bersih syarikat akan mencapai RM310 juta pada FY2027, disokong oleh peningkatan margin dan strategi pengurusan kapasiti yang berkesan.

 

“Syarikat itu juga sedang memperluas operasi logistik dan perkapalan dengan membangunkan fasiliti penghantaran berintegrasi di Kota Kinabalu, Kuching dan Bintulu bagi menyokong sektor barangan pengguna, elektronik dan kargo rantaian sejuk,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MTT Shipping and Logistics sasar kutipan RM652.5 juta melalui IPO menjelang penyenaraian di Papan Utama

 

MTT Shipping memasuki pasaran perkapalan kimia dengan menambah dua kapal tanker kimia pada 2026 bagi mengangkut kargo cecair berbahaya dan tidak berbahaya.

 

Selain itu, syarikat merancang untuk menambah armada kapal kontena bagi memperluas operasi domestik dan antarabangsa termasuk Asia Tenggara, sub benua India dan Selatan China.

 

Strategi ini turut merangkumi pengembangan kontena automotif dan peningkatan kapasiti depot kontena di Pulau Indah, Kuching, dan Bintulu.

 

Daripada jumlah RM652 juta yang dikumpulkan melalui IPO, hampir 95.7 peratus akan digunakan untuk membeli sekurang-kurangnya 12 kapal kontena baru, manakala baki dana diperuntukkan untuk kos berkaitan penyenaraian.

 

PublicInvest turut menekankan risiko yang perlu diperhatikan pelabur termasuk kitaran industri, risiko operasi dan armada, perubahan corak perdagangan, serta perubahan sistem percukaian yang boleh menjejaskan keuntungan.

 

MTT Shipping dijadualkan untuk disenaraikan pada 21 April 2026 dengan saiz pasaran di Bursa Malaysia dianggarkan RM2.58 bilion berdasarkan harga IPO. - DagangNews.com