KUALA LUMPUR 26 Mac – MTT Shipping and Logistics Berhad (MTTSL) menyasarkan kutipan kira-kira RM652.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di papan Utama Bursa Malaysia pada 21 April 2026.
Syarikat itu berkata sebahagian besar daripada hasil IPO iaitu 95.7 peratus akan digunakan untuk membeli sekurang-kurangnya 12 kapal kontena baharu manakala baki dana akan digunakan untuk menampung kos berkaitan penyenaraian.
Dengan harga IPO sebanyak RM1.03 sesaham dan jumlah saham diterbitkan selepas IPO sebanyak 2.5 bilion, MTTSL dijangka mempunyai nilai pasaran kira-kira RM2.6 bilion apabila disenaraikan.
Syarikat itu juga merancang untuk melaksanakan dasar pembayaran dividen sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai.
Langkah ini bertujuan memberikan pulangan yang stabil kepada pemegang saham.
Pengerusi Eksekutif MTTSL, Datuk Seri Ong Kean Lee berkata penyenaraian ini adalah tepat pada masanya memandangkan perdagangan serantau terus berkembang pesat.
“Penambahan kapal baharu akan meningkatkan kapasiti operasi dan perkhidmatan syarikat.
“Pelaburan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan kewangan MTTSL tetapi juga membolehkan syarikat memanfaatkan peluang yang ada daripada permintaan perdagangan domestik dan serantau yang semakin meningkat,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Serantau Perbankan Pelaburan CIMB, berkata Nor Masliza Sulaiman berkata IPO ini adalah yang terbesar dari segi nilai pasaran dan saiz tawaran dalam sektor pengangkutan dan logistik di Malaysia sejak 2013.
“CIMB berbesar hati kerana diberi kepercayaan menjadi penasihat utama dalam membawa jenama tempatan seperti MTTSL ke pasaran, yang kini telah menjadi pengendali kontena terbesar di Malaysia,” katanya.
Permohonan untuk bahagian awam IPO ini dibuka mulai 26 Mac 2026 dan akan ditutup pada 5 petang, 3 April 2026. Orang ramai boleh membuat permohonan melalui platform yang disediakan oleh bank pelaburan yang terlibat.
CIMB Investment Bank Berhad berperanan sebagai penasihat utama, penaja global, bookrunner dan penjamin. CLSA Limited dan CLSA Securities Malaysia berperanan sebagai penaja global dan bookrunner, manakala Affin Hwang Investment Bank Berhad berperanan sebagai bookrunner dan penjamin.
MTTSL menawarkan perkhidmatan perkapalan kontena, penyewaan kapal, penyimpanan kontena dan perkhidmatan berkaitan kontena lain. Syarikat ini mengendalikan armada terbesar dan terbaru kapal kontena berdaftar Malaysia setakat 1 Mac 2026.
Selain pasaran utama di Malaysia, MTTSL mempunyai kehadiran serantau dengan hubungan ke pelabuhan utama di Brunei, China, India, Indonesia, Thailand dan Singapura. Syarikat juga mempunyai fasiliti logistik bersepadu di Kota Kinabalu dan lima depot kontena di seluruh negara.
Dengan langkah penyenaraian ini, MTTSL berharap dapat memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor logistik, meningkatkan keupayaan operasi dan memberikan pulangan menarik kepada pemegang saham, selari dengan perkembangan perdagangan domestik dan serantau yang positif. - DagangNews.com








