Hasil OKA cecah RM160.3 juta bagi FY26 disokong permintaan konkrit di pasaran tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil OKA cecah RM160.3 juta bagi FY26 disokong permintaan konkrit di pasaran tempatan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 JulaiOKA Corporation Berhad mencatatkan peningkatan hasil 2.5% kepada RM160.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, didorong permintaan kukuh konkrit di pasaran tempatan.

 

Kumpulan tersebut menyatakan pertumbuhan pendapatan berkenaan turut disokong lonjakan volum produk yang dijual, walaupun terdapat sedikit penurunan pada harga jualan purata (ASP) bagi tempoh FY26.

 

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, kumpulan turut menyatakan keuntungan selepas cukai (PAT) naik kira-kira 7.6% kepada RM10.75 juta, berbanding RM9.99 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

"Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat 4.4% kepada sebanyak RM14.1 juta, manakala pendapatan sesaham (EPS) asas meningkat kepada 4.38 sen daripada 4.07 sen bagi FY25," jelas OKA.

 

Sehubungan itu Lembaga Pengarah mencadangkan pengagihan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.5 sen sesaham, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pulangan bagi FY26 adalah 2.7 sen sesaham.

OKA_DagangNews2026

 

Dalam pada itu ujar pengeluar produk konkrit pratuang tersebut, industri kini berdepan tekanan kos akibat kenaikan gaji minimum, serta peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam pembinaan.

 

OKA yang ditubuhkan sejak 1981 dan beribu pejabat di Ipoh, Perak turut menyifatkan kenaikan kos bahan api terutama diesel dan sumbangan mandatori KWSP untuk pekerja asing memberi kesan ketara. 

 

"Menyentuh prospek masa depan, syarikat kekal berhati-hati terhadap prestasi, yang dijangka terus disokong projek infrastruktur, pembangunan sektor industri, serta aktiviti perbandaran," katanya.

 

Sementara itu, mengenai aspek kedudukan kewangan, kumpulan jelasnya mengekalkan lembaran imbangan yang sihat dengan kedudukan tunai bersih dan dana pemegang saham mencecah jumlah RM198 juta.

 

Maklumat terperinci akan dijelaskan pihak pengurusan OKA ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Ogos 2026 di MU Hotel, Ipoh. - DagangNews.com