KUALA LUMPUR 19 Jun — Cloudpoint Technology Berhad sedang memburu beberapa kontrak bernilai tinggi termasuk rumusan antipengubahan wang haram (AML) daripada sebuah bank terkemuka tempatan.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), tender itu dilihat berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan dalam segmen keselamatan siber dan perkhidmatan teknologi kewangan.
Selain projek AML, ia juga menyasarkan kontrak pusat operasi rangkaian (NOC) bagi sebuah institusi perbankan serta projek naik taraf teknologi untuk pelanggan sedia ada dalam sektor kewangan.
"Cloudpoint namun berdepan situasi mencabar pada FY26 berikutan kelewatan keputusan pelanggan sektor perkhidmatan kewangan, dan masa pelaksanaan projek yang lebih panjang," jelas firma itu.
Ujar PublicInvest, kadar penggunaan kapasiti yang rendah dijangka menyebabkan margin keuntungan bersih kumpulan menyusut kepada 9% hingga 10% pada FY26 berbanding 12% yang dicatatkan pada FY25.
Bagaimanapun ia melihat prospek jangka sederhana terus disokong oleh peluang pertumbuhan dalam segmen keselamatan siber berikutan semakan rangka kerja Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT).

Langkah terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) itu, bakal mewajibkan pematuhan ketat daya tahan perkhidmatan, pengurusan risiko pihak ketiga, dan keselamatan sistem menjelang September 2027.
"Beberapa projek keselamatan siber berskala besar dijangka dimuktamadkan Cloudpoint dalam tempoh terdekat, dan berpotensi mengimbangi kelembapan semasa perbelanjaan teknologi," kata PublicInvest.
Selain itu jelas firma penyelidikan berkenaan, pemerolehan CX One Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar pusat panggilan, dijangka mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan bermula pada bulan ini.
Dalam perkembangan lain, anak syarikatnya, Unique Central (UC), kekal komited mencapai sasaran jaminan keuntungan RM5.2 juta walaupun sudah mencatat kerugian RM500,000 pada suku pertama FY26.
Subsidiari Cloudpoint itu ujar PublicInvest, melaksanakan beberapa projek termasuk pemasangan kabel berstruktur serta kerja mekanikal, kejuruteraan dan perpaipan dengan nilai lebih RM20 juta.
Buku Tempahan Sudah Bernilai RM100 Juta
"Pada masa sama, peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi dijangka mempercepatkan permintaan terhadap penyelesaian penyejukan cecair," tambahnya.
Keadaan ini jelas firma itu, berpotensi meletakkan UC dalam kedudukan lebih baik memanfaatkan pertumbuhan ekosistem infrastruktur AI, sejajar dengan momentum yang pernah dicapai pada FY25.
Setakat Mac 2026, Cloudpoint memiliki buku tempahan bernilai RM100 juta dan 75% daripadanya dijangka direalisasikan dalam tahun semasa, dengan segmen perkhidmatan IT menyumbang 40%.
Kumpulan itu juga sedang membida tender bernilai RM160 juta, manakala UC menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah buku tempahan semasa dan satu pertiga daripada nilai tender yang sedang dibida.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 50 sen sesaham berdasarkan gandaan 16 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27. - DagangNews.com








